KUALA LUMPUR: Momentum pergerakan ringgit untuk tempoh seterusnya akan terus dipengaruhi perkembangan dolar Amerika Syarikat (AS), kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Yunus.
Beliau berkata, ketika ini dolar AS telah bergerak seiring dengan peralihan sentimen pelabur yang mencerminkan ketidaktentuan ekonomi global. Indeks Dolar AS (DXY) juga, katanya kekal sederhana pada 1.9 peratus untuk tempoh Januari hingga ketika ini.
Menurutnya, keadaan kewangan domestik secara umum kekal stabil meskipun wujud ketidaktentuan berhubung dengan prospek ekonomi global.
“Berlatarkan persekitaran ini, ringgit terus mencatatkan pergerakan dua hala dengan peningkatan keseluruhan yang kecil iaitu sebanyak 0.1 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku pertama tahun 2023.
“Pada masa hadapan, BNM akan terus memantau dengan teliti keadaan kewangan global dan domestik serta pada masa yang sama memastikan pelarasan pasaran kewangan adalah teratur,” katanya pada sidang media prestasi ekonomi suku pertama 2023 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, jangkaan pasaran kewangan terhadap dasar monetari AS dipengaruhi oleh kebimbangan yang semakin meningkat terhadap ekonomi AS.
Beliau berkata, kebimbangan ini termasuk kadar disinflasi dan kemampanan momentum ekonomi AS. Katanya, menjelang akhir suku pertama, risiko daripada tekanan sektor perbankan di AS dan Eropah menjejaskan lagi jangkaan pasaran.
“Kesannya, dolar AS secara umumnya menurun nilai berikutan perubahan sentimen berhubung dengan perkembangan ini dan mengurangkan penambahan nilai yang diperoleh pada separuh pertama suku pertama,” katanya.