KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2023 menyusut 14.5 peratus kepada RM198 bilion sejajar dengan permintaan global yang perlahan, seiring dengan prestasi negara serantau lain yang turut mencatatkan pertumbuhan negatif pada bulan lalu.
Eksport pada bulan berkenaan pula berjumlah RM105.42 bilion, merosot 17.4 peratus manakala import berkurang sebanyak 11.1 peratus kepada kepada RM92.58 bilion. Berbanding Mac 2023, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan negara masing masing merekodkan penurunan sebanyak 14.9 peratus, 18.7 peratus, 10.1 peratus dan 51.9 peratus.
Bagaimanapun, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan yang ke-36 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, dengan nilai RM12.85 bilion pada April 2023.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata pada April 2023, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.2 peratus atau RM90.89 bilion daripada jumlah eksport menyusut sebanyak 15.5 peratus tahun ke tahun, disebabkan oleh penurunan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), barangan perkilangan logam serta kimia dan bahan kimia.
“Walau bagaimanapun, eksport keluaran petroleum mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 20.8 peratus, mengekalkan pertumbuhan positif sejak Mei 2022.