Tumpuan :
Detik Niaga

Perdagangan borong dan runcit naik 7.2 peratus pada Julai 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan nilai jualan sebanyak RM139.8 bilion, naik 7.2 peratus dari tahun ke tahun pada Julai 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memberitahu kenaikan itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong, yang menokok  5.7 peratus atau RM3.4 bilion kepada RM63.1 bilion.

“Perdagangan runcit berkembang dengan mencatatkan 5.5 peratus atau RM3.1 bilion kepada RM59.7 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan peningkatan 20.5 peratus atau RM2.9 bilion kepada RM17.0 bilion,” katanya susulan pengumuman Prestasi Perdagangan Borong & Runcit, Julai 2023.

Sementara itu, kenaikan 0.9 peratus atau RM1.3 bilion berbanding bulan sebelumnya telah disumbangkan oleh perdagangan borong dengan tambahan berjumlah RM700 juta atau 1.1 peratus.

Dalam tempoh yang sama, beliau berkata kenderaan bermotor pulih semula sebanyak 2.0 peratus atau RM0.3 bilion, manakala perdagangan runcit melonjak 0.5 peratus atau RM300 juta.

Secara subsektor, pertumbuhan 5.7 peratus dari tahun ke tahun dalam perdagangan borong telah dipacu oleh borong khusus lain yang naik sebanyak RM1.3 bilion (5.8 peratus) kepada RM24.6 bilion.

Ini diikuti dengan pemborongan makanan, minuman dan tembakau (8.8 peratus), pemborong barangan isi rumah (2.8 peratus), pemborongan bahan mentah pertanian serta haiwan hidup (5.4 peratus), perdagangan borong bukan pengkhususan (10.3 peratus). ), pemborongan mesin, peralatan termasuk bekalan (3.4 peratus), dan pemborongan berdasarkan yuran atau kontrak (10.5 peratus).

“Untuk perbandingan secara bulanan, perdagangan borong meningkat 1.1 peratus disebabkan oleh borong khusus lain (3.1 peratus), borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (5.2 peratus) serta borong makanan, minuman dan tembakau (0.4 peratus).” Mohd Uzir berkata.

Bagi subsektor perdagangan runcit, kenaikan 5.5 peratus dari tahun ke tahun pada bulan ini telah disokong oleh jualan runcit di kedai bukan khusus yang bertambah 9.0 peratus atau RM1.9 bilion kepada RM22. 7 bilion.

Kumpulan lain dalam subsektor ini juga mencatat pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai khusus (4.6 peratus), jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (12.5 peratus), jualan runcit bahan api automotif (5.4 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (0.2 peratus), jualan runcit di gerai serta pasar (5.7 peratus) dan jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (0.6 peratus).

Bagi perbandingan dari bulan ke bulan, jualan subsektor ini menokok 0.5 peratus selepas dipacu oleh jualan runcit di kedai khusus (1.6 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (1.7 peratus) termasuk jualan runcit peralatan maklumat dan komunikasi (1.3 peratus) .

Mohd Uzir juga berkata pertumbuhan dua angka dari tahun ke tahun berjumlah 20.5 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada bulan ini telah didorong oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat 25.9 peratus atau RM1.8 bilion kepada RM8.8 bilion.

Ini diikuti oleh jualan alat ganti serta aksesori kenderaan bermotor (17.3 peratus), penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (18.3 peratus) selain jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (2.6 peratus).

Untuk perbandingan bulanan, subsektor ini naik 2.0 peratus, didorong oleh jualan kenderaan bermotor (3.1 peratus), jualan, penyelenggaraan serta pembaikan motosikal (3.6 peratus), jualan alat ganti kenderaan bermotor dan aksesori (0.4 peratus) termasuk penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (0.2 peratus).

Bagi indeks jualan runcit melalui internet, ianya merekodkan pertumbuhan 0.4 peratus dari tahun ke tahun menjelang Julai 2023 berbanding 1.5 peratus pada Jun 2023.

Untuk nilai pelarasan musim, indeks tersebut adalah lebih baik pada 0.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Dalam terma indeks volum, perdagangan borong dan runcit bagi Julai 2023 mencatatkan pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak 5.4 peratus.

Perkembangan itu telah disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (20.4 peratus), perdagangan borong (6.6 peratus) dan perdagangan runcit (2.7 peratus).

Untuk indeks volum pelarasan musim, ia berkembang 2.3 peratus dari bulan ke bulan.

Loading...
Terkini