Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan mengenai isu pengagihan gas di antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sudah selesai.
Bagaimanpun kerajaan sedang meneliti butiran dan implikasi undang-undang lanjut.
“Saya mempunyai perbincangan yang baik dengan Premier Abang Jo (Tan Sri Abang Johari Tun Openg). Keputusan yang jelas dan kami sedang meneliti butiran, parameter dan implikasi undang-undang,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan MITEC, hari ini.
Semalam, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata isu pengagihan gas PETRONAS dan PETROS akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Julai lalu, Sarawak memberi tempoh lanjutan tiga bulan kepada PETRONAS untuk memuktamadkan susunan pengagihan gas dengan PETROS.
Sebelum itu, Sarawak memutuskan syarikat petroleum milik kerajaan negeri, PETROS mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di negeri ini bermula 1 Julai lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.