Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Perbincangan mengenaui isu pengangihan gas antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sudah selesai dan kini butiran lanjut sedang diteliti, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar juga berkata, beliau sudah berbincang dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan kini dalam fasa meneliti implikasi perundangan terkait isu berkenaan.
Perbincangan mengenaui isu pengangihan gas antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sudah selesai dan kini butiran lanjut sedang diteliti, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. pic.twitter.com/oIayKYly24
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) December 12, 2024
“Saya mempunyai perbincangan yang baik dengan Premier Abang Jo (Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg). Keputusan yang jelas dan kami sedang meneliti butiran, parameter dan implikasi undang-undang.” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran National AI Office (NAIO) di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) di sini, hari ini.
Semalam, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata isu pengagihan gas PETRONAS dan PETROS akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Julai lalu, Sarawak memberi tempoh lanjutan tiga bulan kepada PETRONAS untuk memuktamadkan susunan penyeliaan pengagihan gas di negeri itu dengan PETROS.
Sebelum ini, Sarawak memutuskan syarikat petroleum milik kerajaan negeri, PETROS mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di negeri itu bermula 1 Julai lalu.
Bagaimanapun, PETRONAS meminta penangguhan kerana pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas dan kerajaan Sarawak kemudian memberi tempoh lanjutan selama tiga bulan.
Pada 31 Oktober lalu, Abang Johari mendedahkan PETROS menjadi agregator gas tunggal di Sarawak apabila secara dasarnya kedua-dua syarikat petroleum itu mencapai resolusi bersama berkaitan urusan pengagihan.
Bagaimanapun, PETRONAS dalam reaksi beberapa jam selepas pendedahan Abang Johari, menjelaskan proses perbincangan cadangan pelaksanaan Ordinan Pengedaran Gas (DGO) masih belum dimuktamadkan dan rundingan masih diteruskan untuk menyelaras kepentingan dan objektif semua pihak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.