Tumpuan :
Detik Niaga

Perbelanjaan isi rumah kekal pemacu utama ekonomi Malaysia

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Permintaan domestik dilihat kekal sebagai pemacu utama ekonomi Malaysia memandangkan perbelanjaan isi rumah disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan jangkaan aktiviti pelancongan yang lebih tinggi.

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim, berkata permintaan luar dijangka menyederhana seiring dengan pertumbuhan global yang lebih perlahan.

“Pelaburan akan disokong oleh penyiapan projek infrastruktur dan persekitaran domestik yang lebih baik untuk menarik pelaburan langsung asing,” katanya dalam laporan tinjauan pasaran UOB, hari ini.

Beliau berkata, usaha selanjutnya untuk mengembangkan aktiviti pendigitalan, kemampanan dan penyahkarbonan akan memacu bidang pertumbuhan baharu.

Katanya, meskipun ketidaktentuan meningkat dalam pasaran kewangan global dan mata wang tempatan, perkembangan ini tidak menjejaskan ekonomi Malaysia disebabkan kecairan domestik dan fungsi pasaran domestik yang kekal stabil.

“Faktor-faktor pendorong yang disokong asas kukuh, akan terus membantu ekonomi Malaysia bertahan daripada ketidaktentuan yang bakal dihadapi tahun ini.”

“Potensi risiko menurun ke atas prospek pertumbuhan Malaysia boleh berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, pengelakan risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global, ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, harga komoditi yang tidak menentu, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan risiko berkaitan iklim,” katanya.

Secara keseluruhan, Lim berkata masih ada sebab untuk bersikap optimistik kerana struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai menyediakan kekuatan dan daya tahan asas.

“Sokongan berterusan terhadap polisi dan pembentangan semula Belanjawa 2023, serta dasar monetari yang akomodatif, akan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata UOB Malaysia menjangka bahawa pasaran kewangan Amerika Syarikat (AS), Asia-China dan penjagaan kesihatan global akan menyediakan peluang pelaburan dalam persekitaran tidak menentu pada tahun ini.

Katanya, kemerosotan pasaran tahun lalu dijangka berterusan sepanjang tahun ini apabila pelabur mempertimbangkan potensi risiko kemelesetan, trend inflasi dan hala tuju dasar monetari bank pusat global.

“Dengan menilai semula ketegangan geopolitik, pembukaan semula ekonomi China pasca COVID, dan pengetatan yang semakin perlahan oleh bank pusat global, permulaan yang suram mungkin akan mula cerah, sekali gus menyebabkan kemelesetan yang kemungkinannya singkat tetapi cetek pada 2023,” katanya.

Loading...
Terkini