KUALA LUMPUR: Perbankan Islam terus kukuh, menyumbang 44.5 peratus atau RM974 bilion daripada pasaran pembiayaan di Malaysia.
Menurut Presiden Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Mohd Muazzam Mohamed, ia turut menyumbang 64.3 peratus atau RM2.32 trilion daripada pasaran modal Islam.
“Sistem kewangan Islam Malaysia yang kukuh yang bukan hanya tertumpu kepada industri perbankan.
“Prestasi pasaran modal Islam yang lebih kukuh menjadi sebab untuk kita kekal optimis terutamanya apabila kita berada dalam laluan pemulihan ekonomi,” katanya pada ucaptama Majlis Pembukaan Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam (KLIFF) kali ke-16.
Jelas beliau, sistem kewangan Islam di negara ini kini diiktiraf sebagai model terbaik di dunia.
Malaysia juga terus menerajui pasaran sukuk dengan kira-kira 45 peratus daripada sukuk terkumpul dunia.
Pada Jun lalu, jumlah terkumpul sukuk berjumlah RM561.80 bilion.
Dari segi dana Islam pula, Malaysia kekal sebagai salah satu daripada tiga negara teratas di dunia dengan lebih 29 peratus daripada jumlah aset di bawah pengurusan.