Tumpuan :
Detik Niaga

Perak labur RM40 juta bina kilang proses bahan mineral

IPOH: Kerajaan negeri Perak membelanjakan RM40 juta bagi membina kilang pemprosesan bahan mineral berasaskan kuarza dan silika berkonsepkan ‘Zero Waste Facility’ oleh syarikat dari China, Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd (Jinjing) di Silver Valley Technology Park (SVTP), Kanthan, Chemor, dekat sini.

Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak,
berkata kilang di atas tapak seluas 4.8 hektar terbabit adalah pertama di rantau ini yang dibina menggunakan model pajakan ‘Built-To-Suit and Lease’ (BTSL) dengan ia dijangka akan memulakan operasi pada suku tahun ketiga 2024.

Menurutnya, model BTSL dilihat akan menggalakkan kemasukan pelabur ke Perak yang membabitkan penyediaan kemudahan yang memenuhi keperluan dan spesifikasi seperti yang dikehendaki oleh pelabur terbabit untuk dipajakkan selama tempoh 30 tahun.

“Faedah model ini adalah kita yang membuat kilang dan kemudahan di kilang itu berdasarkan kepada kehendak, reka bentuk, dan spesifikasi dan mereka (pelabur) masuk ke sini dengan ‘front-loading costs’ yang rendah dan akan membayar pajakan secara jangka panjang.

“Jadi ini satu daya penarik yang sangat besar bagi Perak dan sekiranya begini, pelabur dapat menumpukan fokus kepada operasi masing-masing. Paling penting, di akhirnya nanti tanah tapak kilang itu kekal kepunyaan negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kilang secara BTSL terbabit oleh PKNPk dengan usaha sama Jinjing di sini, hari ini.

Loading...
Terkini