KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd kini menambah baik Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (LR Utama) bagi memudahkan penawaran amanah pelaburan hartanah (REIT) tersenarai dan dana dagangan bursa (ETF) dengan ciri wakaf (pindaan wakaf).
Dalam kenyataan pada Isnin, Bursa Malaysia menjelaskan pindaan ini akan berkuat kuasa pada 3 April, 2023.
Mengikut pindaan wakaf, Bursa Malaysia telah menambah baik rangka kerja pendedahan REIT dan ETF Islam pascapenyenaraian untuk memberikan ketelusan mengenai pengaturan wakaf.
“Antara lain, REIT atau ETF Islam mesti segera mengumumkan sebarang perubahan kepada pengaturan wakaf yang dimaklumkan sebelum ini dalam prospektus, kertas maklumat dan helaian keterangan produk, berserta sebab-sebab perubahan itu,” jelasnya.
Bursa Malaysia menambah bahawa REIT atau ETF Islam juga mesti menyediakan kemas kini interim mengenai pengagihan pendapatan yang disalurkan untuk tujuan wakaf, dalam laporan suku tahunan REIT Islam atau laporan separuh tahun ETF Islam.
“REIT atau ETF Islam juga mesti mendedahkan cara pelabur boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai penerima wakaf dan kemajuan inisiatif wakaf dalam laporan tahunan,” jelasnya.
Pindaan wakaf, yang melengkapkan garis panduan produk dan perkhidmatan pasaran modal Islam (garis panduan ICMPS) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 28 Nov 2022, adalah sebahagian daripada inisiatif untuk mengembangkan rangka kerja dana bercirikan wakaf (rangka kerja WQ-FF) kepada dana Islam tersenarai seperti REIT dan ETF.
Rangka kerja itu diperkenalkan pada November 2020, yang pada mulanya hanya terpakai untuk unit amanah dan dana borong, bagi membolehkan pertumbuhan segmen kewangan sosial Islam dan membangunkan wakaf.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata tidak lama lagi pelabur akan mempunyai lebih banyak peluang untuk mengakses rangkaian pelbagai produk tersenarai patuh syariah dengan pengembangan rangka kerja WQ-FF.
“Bursa Malaysia gembira untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem yang menyediakan instrumen berkesan untuk menyokong pembangunan sosio-ekonomi negara kita,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Beliau berkata penambahbaikan itu juga akan merangsangkan pertumbuhan wakaf dan aset pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab, seterusnya memperkukuh kedudukan bursa ini sebagai pasaran kewangan Islam global yang terkemuka. – BERNAMA