comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Penyelarasan semula cuti hujung minggu di Johor tingkat produktiviti -PENGILANG

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung cuti hujung minggu di Johor mendapat reaksi positif pemain industri seluruh negara.

Menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), langkah ini selaras dengan amalan perniagaan di peringkat nasional dan global memandangkan kebanyakan perniagaan di Malaysia dan di seluruh dunia mengamalkan hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad.

“Penyelarasan hujung minggu Johor dengan jadual ini dapat meningkatkan koordinasi dan memperbaiki kecekapan operasi, terutamanya dengan rakan kongsi perniagaan, pelanggan, dan pembekal di negeri-negeri lain dan di luar negara.”kata FMM dalam satu kenyataan kepada Buletin TV3.

Cuti hujung minggu yang bermula Januari 2025 di Johor ini juga akan membolehkan penyelarasan yang lebih baik dengan institusi kewangan kerana mempunyai hari rehat yang sama, sekaligus membantu perniagaan negeri berkenaan menyelaras urus niaga perbankan, perdagangan saham, dan operasi kewangan lain dengan lebih baik.

Malah, dengan hujung minggu yang sama dengan negeri-negeri lain di negara ini, perniagaan juga dapat mengelakkan kehilangan hari bekerja akibat ketidakselarasan jadual dengan pembekal dan pelanggan di luar Johor, yang seterusnya dapat meningkatkan produktiviti keseluruhan.

Bagi Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia(PENGILANG), Datuk Azman Yusoff pula, langkah itu dilihat dapat membantu pengilang menyelaraskan operasi terutama membabitkan logistik dan pembekalan bahan mentah.

“Kita bergantung kepada eksport di Singapura dan sebagainya dan ini akan menyebabkan kos operasi akan meningkat. Jadi jika dapat diselaraskan semua kepada Sabtu dan Ahad ini, ini akan menurunkan kos operasi tidak akan melibatkan bayaran kerja lebih masa.” kata Datuk Azman kepada Buletin TV3.

Dalam pada itu, kelebihan ini boleh mendorong integrasi yang lebih erat dengan ekonomi negara, mempercepat proses perniagaan, dan meningkatkan kepuasan pekerja bagi syarikat-syarikat di Johor.

Untuk rekod, penyelarasan semula cuti hujung minggu dari Jumaat dan Sabtu ke Sabtu dan Ahad di Johor akan membabitkan lebih 1.94 juta tenaga kerja di Johor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini