Oleh: Suzila Idayu Yaacob
KUALA LUMPUR: Persatuan Takaful Malaysia (MTA) melihat strategi penyelarasan premium secara berperingkat dapat mengurangkan impak kepada pemegang polisi.
Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed berkata, penyedia juga memberi pelbagai pilihan alternatif dengan kos lebih rendah agar tidak membebankan pengguna.
“Kita dapat lihat penyelesaian strategik yang menekankan pelaksanaan penentuan semula harga secara lebih wajar, mengambil kira kesan terhadap pemegang polisi dan peserta takaful sambil memastikan akses kepada perlindungan terus terjaga” katanya kepada Buletin TV3.
Selain itu, syarikat takaful juga akan menyediakan kemudahan saluran komunikasi khas untuk kemudahan pengguna.
Persatuan juga percaya bahawa cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) melibatkan pihak berkepentingan mampu menyediakan langkah jangka panjang bagi membendung isu inflasi kos perubatan yang ketara.
“Kami juga percaya bahawa cadangan Bank Negara untuk melibatkan pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta merupakan langkah penting dan langkah jangka panjang dalam menangani isu inflasi kos perubatan ketara yang mempengaruhi penentuan semula harga,” katanya.
Pembaharuan ini berupaya memastikan akses berterusan, selain perlindungan yang mampu milik kepada rakyat.
Semalam, BNM mengarahkan penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) untuk menyemak strategi penentuan semula harga untuk memastikan pelaksanaan yang lebih wajar.
Ini termasuk menguruskan secara berterusan kenaikan premium dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi atau peserta takaful.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.