Tumpuan :
Detik Niaga

Penyasaran subsidi diesel: Kerajaan jimat sehingga RM7.5 bilion setahun

Datuk Seri Amir Hamzah ditemui media pada Forum Ekonomi Malaysia hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mampu menjimatkan antara RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion setahun daripada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sejak Jun tahun lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia jauh lebih tinggi berbanding sasaran awal kerajaan sebanyak RM4 bilion setahun, berdasarkan penilaian penjimatan RM600 juta sebulan ketika ini.

“Perkara paling penting adalah apabila kerajaan melaksanakan sistem yang dapat mengurangkan ketirisan. Itu sebabnya kami mengambil masa untuk melancarkan (penyasaran subsidi diesel).

“Jadi disebabkan sistem yang bagus, kita dapat keputusan yang lebih baik daripada sasaran awal,” katanya apabila ditemui media pada Forum Ekonomi Malaysia hari ini.

Tambahnya, ini adalah hasil daripada kekurangan ketirisan yang berlaku merentas sempadan dan segmen yang tidak layak mendapat subsidi.

Pelaksanaan penyasaran subsidi ini juga tidak memberi kesan kepada tekanan inflasi kerana adanya Fleet Card Diesel untuk memastikan kestabilan harga barangan asas.

Dalam pada itu, penyasaran subsidi RON95 juga akan menggunakan sistem dua peringkat iaitu harga pasaran dan harga bersubsidi.

Bagaimanapun, mekanisme penyaluran subsidi RON95 masih dalam perbincangan antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi memastikan kelancarannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini