comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Penumpang pesawat MAS ke Seoul berpatah balik, layak tuntut bayaran balik tambang dalam tempoh 30 hari – Mavcom

Pengarah Hal Ehwal Pengguna MAVCOM, Pushpalatha Subramaniam membentangkan mengenai pindaan terbaharu kepada MACPC 2016.

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) ke Seoul, Korea Selatan yang terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi, boleh menuntut bayaran balik tambang penuh jika tidak mahu meneruskan perjalanan mereka, kata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, (MAVCOM).

Menurut Pengarah Hal Ehwal Pengguna MAVCOM, Pushpalatha Subramaniam, penumpang layak mendapat tuntutan dalam tempoh 30 hari di bawah pindaan terbaharu kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016 MAVCOM, yang berkuat kuasa hari ini.

“Jika mereka membayar secara tunai, maka syarikat penerbangan berkenaan perlu membayar balik secara tunai. Jika melalui kad kredit, tuntutan akan dibayar ke dalam kad kredit dan jika melalui mata ganjaran syarikat penerbangan, maka pembayaran balik akan dalam bentuk mata ganjaran.Semuanya bergantung kepada cara pembayaran,” kata Pushpalatha dalam satu sidang akhbar MAVCOM selepas pembentangan mengenai pindaan terbaharu MACPC.

Sebelum ini, kelewatan penerbangan selama lima jam atau lebih, syarikat penerbangan perlu menyediakan makanan, panggilan, akses internet, penginapan hotel dan pengangkutan antara hotel dan lapangan terbang.

Justeru, katanya pindaan terbaharu ini memberikan fleksibiliti dan kawalan kepada pengguna yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan mereka semasa berlaku kelewatan penerbangan.

Had masa untuk pengguna mengemukakan aduan kini juga dilanjutkan daripada satu tahun kepada dua tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini