Tumpuan :
Detik Niaga

Pentadbiran Trump: Ringgit dijangka terima tekanan 6 bulan pertama

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka menerima tekanan antara enam hingga sembilan bulan pertama semasa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Donald Trump.

Ketua Penyelidikan Pelaburan, UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata di bawah pentadbiran Trump, dolar dijangka mengukuh berikutan dasar beliau yang menjurus kepada pro-perniagaan untuk perkembangan ekonomi AS.

“Interaksi antara dasar ekonomi dan dasar luar di AS akan mengukuhan nilai dolar, yang disokong oleh peningkatan pemintaan terhadap mata wang itu. Keadaaan ini memberi kesan kepada mata wang negara membangun,” katanya kepada BuletinTV3.

Beliau bagaimanapun berkata nilai ringgit akan kembali mengukuh apabila Rizab Persekutuan (The Fed) AS melakukan pemotongan kadar faedah yang dianggarkan dua pemotongan tahun ini.

Kesan ringgit melemah ini juga akan diseimbangkan dengan peningkatan jumlah perdagangan.

“Selain itu, jika dilihat pendirian Trump semasa kempen pilihan raya, Trump kurang memberi fokus kepada tenaga diperbaharui dan mengutamakan bahan api fosil.

“Kedua-dua perkara ini memberi sumbangan positif kepada nilai ringgit dan pasaran saham. Ini kerana Malaysia memfokuskan pelaburan teknologi hijau yang disokong oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga,” katanya.

Dalam pada itu, pasaran telah meletakan asas terendah iaitu menjangkakan keadaan terburuk sekiranya berlaku perang dagangan atau perubahan dasar perdagangan.

“Namun apa yang kami lihat, pada sebulan yang lalu sehingga minggu lepas, ada perkembangan positif dalam hala tuju perdagangan AS-China.

“Jika ini berlaku, perang dagangan tidak seburuk yang dijangkakan, ia akan menyebabkan ‘rali pasaran’ untuk Asia termasuk Malaysia,” jelas beliau.

Trump dijadual mengangkat sumpah malam ini (waktu Malaysia) di Rotunda Capitol AS.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini