Tumpuan :
Detik Niaga

Penstabilan harga & pembangunan gaji progresif tangani kos sara hidup – Rafizi

Oleh : Afrina Romzi

PUTRAJAYA: Inflasi Malaysia dijangka terus mereda pada bulan-bulan akan datang, selepas mencatat penurunan kepada 2.8 peratus pada Mei berbanding 3.3 peratus pada April.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kadar inflasi Mei juga merekod penurunan sembilan bulan berturut-turut, selain mencatat kadar inflasi terendah dalam setahun.

“Unjuran dan juga data yang kita ada, dan mengambil kira keadaan ekonomi yang makro di peringkat negara dan antarabangsa, saya yakin trend (penurunan) ini akan berterusan, maksudnya harga itu telah stabil,” katanya pada sidang media Indeks Harga Pengguna untuk Mei hari ini.

Tambah beliau, penstabilan harga melalui penurunan inflasi yang menyeluruh dan berterusan adalah sebahagian dari strategi menyeluruh kerajaan menangani kos sara hidup rakyat.

Kementerian Ekonomi juga akan mengumumkan projek-projek pertanian dan pemakanan bulan depan, melibatkan 1,000 ekar pertama di seluruh negara di bawah Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), yang merupakan satu daripada tiga program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Ia akan melibatkan rakan-rakan strategik dari agensi pertanian kerajaan dan agensi-agensi kerajaan negeri untuk mengusahakannya.

Kementerian itu akan membuka permohonan untuk syarikat pertanian swasta untuk menjadi rakan strategik INTAN dalam projek akan datang.

Pada masa yang sama, kerajaan akan memastikan gaji dan pendapatan rakyat naik secara berkala setimpal dengan kenaikan kos sara hidup.

Untuk mencapai hasrat itu, kertas dasar mengenai Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Ogos untuk mendapat panduan dari kepimpinan negara.

Loading...
Terkini