Tumpuan :
Detik Niaga

Pensijilan hutan dan kayu penting bagi imbangi pembangunan ekonomi, integriti ekologi

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kemajuan dan kesan pensijilan hutan dan kayu telah dipuji, namun masih banyak lagi cabaran yang mesti ditangani di tengah-tengah usaha memperhebatkan dasar dan perundangan bagi kelestarian.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata permintaan untuk pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di seluruh dunia semakin meningkat didorong oleh tekanan global bagi menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dan pencarian sumber semula jadi yang lebih mesra alam.

Sehubungan itu, pensijilan hutan dan kayu memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan di antara pembangunan ekonomi dan integriti ekologi, katanya.

Beliau menyatakan bahawa Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), satu skim sukarela yang dikendalikan oleh Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) telah diiktiraf dan disahkan oleh skim pensijilan hutan terbesar di dunia, iaitu Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC) sejak 2009.

“Pengiktirafan dan pengesahan itu telah mengukuhkan kredibiliti MTCS dalam memenuhi keperluan dan piawaian antarabangsa.

“Dalam konteks pembangunan global, MTCS telah menyumbang kepada pengurusan hutan lestari untuk hutan tropika dan telah meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam perhutanan tropika melalui pensijilan kayu,’’ katanya pada persidangan Pensijilan Kayu: Meneroka Sempadan Masa Depan di sini hari ini. — BERNAMA

Loading...
Terkini