comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Peningkatan peruntukan KPK ambil kira maklum balas industri

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR: Peningkatan peruntukan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di bawah Belanjawan 2024 kepada RM732.7 juta telah mengambil kira maklum balas yang diterima dari pihak industri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata peruntukan yang diterima akan disalurkan kepada pengurusan dan pembangunan keseluruhan komoditi di bawah jagaan KPK termasuk kelapa sawit, getah, kayu, kenaf, koko dan lada.

“Dalam konteks itu, tumpuan kita ialah melihat dari segi teknologi dan inovasi untuk meningkatkan pengeluaran hasil yang lebih efisien, dan akhirnya produk hiliran kita akan menjadi lebih baik dan dapat menembusi pasaran global,” katanya menerusi program Ruang Bicara bertajuk ’Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ di BernamaTV, malam tadi.

Fokus utama kementerian ketika ini termasuk menjalankan misi untuk memperluaskan pasaran produk komoditi negara memandangkan terdapat cabaran di peringkat dunia seperti pengenalan peraturan baharu di peringkat Kesatuan Eropah (EU) serta persaingan di Amerika Syarikat yang ingin melindungi produk mereka.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata kementerian juga akan memberi tumpuan terhadap mendidik pekebun kecil kelapa sawit berhubung amalan terbaik dalam bidang pertanian.

“Cabaran kita sekarang ialah banyak pokok sawit yang sudah lewat usia, jadi sebab itu kita minta dalam belanjawan kali ini untuk mendapatkan peruntukan skim penanaman semula khusus untuk pekebun kecil.

“Menerusi RM100 juta yang diluluskan untuk Insentif Program Tanam Semula Sawit dalam bentuk geran dan pinjaman, kita harap pokok tua ini boleh ditanam semula supaya ia dapat menghasilkan buah yang boleh diproses dengan lebih cantik dan sudah pasti ia akan membantu pekebun kecil,” katanya.– BERNAMA

Loading...
Terkini