Tumpuan :
Detik Niaga

Peniaga makanan dari rumah boleh mohon pembiayaan dengan Agrobank

KUALA LUMPUR: Peniaga makanan dari rumah boleh memohon pembiayaan sehingga RM75,000 tanpa cagaran dengan Agrobank sejajar usaha memperkasakan pembangunan perniagaan dari rumah.

Setakat ini, terdapat lebih 5,000 peniaga makanan dari rumah dalam platform Foodpanda.

“Ini adalah khas untuk usahawan mikro yang memulakan perniagaan di rumah. Kami menyambut baik seruan kerajaan untuk menolong golongan asnaf dan golongan B40 untuk menambah pendapatan mereka.” kata , Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Agrobank dengan Foodpanda pagi tadi.

Peniaga boleh nikmati moratorium selama enam bulan di bawah Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz Agrobank yang mempunyai RM50 juta peruntukkan.

Tiga peratus kadar keuntungan pula hanya akan dikenakan pada bulan ketujuh dengan tempoh pembiayaan maksimum sehingga 60 bulan.

Pembiayaan tersebut boleh digunakan untuk pembelian aset tetap termasuk motosikal dan modal kerja.

Kerjasama eksklusif ini turut diperluaskan pada jerayawara di seluruh negara bertujuan membimbing peniaga makanan dari rumah dalam perjalanan digitalisasi mereka dan untuk meningkatkan kesedaran tentang program tersebut.

Lokasi-lokasi jerayawara termasuklah bandar peringkat kedua dan kawasan separa bandar di Pahang, Kelantan, Johor, Kedah, Sabah dan Sarawak.

Loading...
Terkini