KUALA LUMPUR: Perbadanan gadai janji nasional, Cagamas Bhd, berjaya memuktamadkan Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) berbilang tempoh dan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM3.195 bilion.
Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan dan pembiayaan rumah daripada sistem kewangan domestik.
“Kami berbesar hati untuk mengakhiri tahun ini dengan jumlah dana tertinggi yang kami peroleh pada RM24.9 bilion, iaitu kira-kira 30 peratus lebih tinggi daripada tahun sebelumnya dan peningkatan tertinggi sejak 1999, menandakan pengakhiran yang kukuh untuk tahun yang penuh peristiwa bagi syarikat, ” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas Datuk Chung Chee Leong.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata walaupun persekitaran global yang mencabar berterusan, syarikat tetap komited terhadap usahanya dalam memenuhi mandatnya sebagai pengantara kewangan antara pasaran modal dan sektor perumahan Malaysia.
Kertas tersebut, yang akan ditebus pada nilai nominal penuhnya selepas matang, adalah obligasi tidak bercagar syarikat, dan berkedudukan setara dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada lain syarikat. — BERNAMA