KUALA LUMPUR: Pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dapat mengurangkan kos bahan mentah diimport dan mengurangkan kos perniagaan.
Penganalisis Kenanga Research, Thin Yun Jing, berkata nilai ringgit lebih baik juga akan dapat mengurangkan tekanan terhadap kenaikan harga komoditi utama seperti koko dan biji koko baru-baru ini dan mengehadkan keperluan untuk kenaikan harga yang ketara, sekali gus menyumbang kepada harga runcit yang stabil.
“Kesannya, beban kewangan kepada pengguna akan berkurangan, membolehkan mereka mengekalkan kuasa beli dan menyokong perbelanjaan runcit yang berterusan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Harga gandum, jagung, kacang soya, kapas turun lebih daripada 10 peratus setakat tahun ini dan berkemungkinan kekal rendah disebabkan bekalan global yang kukuh didorong oleh hasil tuaian yang banyak di kawasan pengeluaran utama masing-masing.
Walau bagaimanapun, harga bagi kopi dan koko masing-masing meningkat 39 peratus dan 85 peratus, berikutan hasil tanaman yang lemah di tengah-tengah cuaca buruk di negara kawasan pengeluaran seperti Brazil, Asia Tenggara dan Afrika Barat.
Harga gula pula melonjak 27 peratus bulan lalu susulan kebimbangan bahawa kemarau yang berterusan di Brazil boleh mengurangkan pengeluaran gula.
Namun, hujan monsun melebihi purata India dan nilai mata wang Brazil yang lebih lemah dijangka menormalkan harga gula.
Tinjauan itu disokong peningkatan yang dijangkakan dalam ketibaan pelancong dari China dan India, didorong dasar kemasukan bebas visa baharu.
Selain itu, kenaikan gaji kakitangan awam mulai 1 Disember berkemungkinan meningkatkan perbelanjaan runcit semasa musim cuti akhir tahun.
Yun Jing berkata, di sebalik sentimen pengguna semasa yang agak lemah, ada kemungkinan kesan subsidi bahan api mungkin tidak seburuk yang dijangkakan.
“Pengukuhan ringgit baru-baru ini boleh membantu mengurangkan kesan pemotongan subsidi, yang berpotensi menurunkan jangkaan kenaikan kos bahan api dan mengurangkan kebimbangan pengguna.
“Dengan Belanjawan 2025 akan dibentangkan pada 18 Oktober ini, butiran lanjut mengenai rasionalisasi subsidi bahan api mungkin didedahkan, sekali gus akan dapat merungkai ketidaktentuan berhubung garis masa dan magnitud perubahan (rasionalisasi subsidi bahan api),” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa