![](https://media.buletintv3.my/2023/10/5z5iFCQL-BULETIN-TV3.jpg)
KUALA LUMPUR: Kalangan pengguna Malaysia adalah antara pembeli paling arif di dunia dari segi mengatur dan menilai produk, selain melihat ganjaran yang disediakan penjual sebelum membuat pembelian, demikian menurut platform pembayaran terkemuka, Adyen.
Pengurus Negara Adyen bagi Malaysia, Lee Soon Yean, berkata pengguna di negara ini pasca COVID-19 bijak dari segi memilih dan melihat keperluan sebelum membuat pembelian.
“Peralihan kepada pembelian secara dalam talian juga berkembang dengan pesat. Walaupun kedai fizikal masih relevan, peruncit sudah boleh memikirkan strategi untuk memacu perniagaan supaya kekal berdaya tahan,” katanya.
Mengulas lanjut, Soon Yean berkata, berdasarkan Laporan Runcit Adyen Malaysia 2023, dua pertiga (66 peratus) pengguna Malaysia mengatakan mereka lebih setia kepada peruncit yang menawarkan fleksibiliti untuk memulakan pembelian di dalam kedai dan membayar secara dalam talian.
Selain itu, katanya, 70 peratus memilih peruncit yang membenarkan pembelian dalam talian dengan kemudahan pemulangan di dalam kedai.
“Sejumlah 55 peratus pembeli mengatakan mereka akan meninggalkan pembelian yang dilakukan jika kaedah pembayaran pilihan tidak tersedia.
“Jangkaan tinggi dalam aspek pembayaran dan ganjaran kesetiaan menyebabkan peruncit Malaysia kini mula terbeban dengan jangkaan ini dengan hampir separuh (49 peratus) mendapati sukar untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan di tengah-tengah landskap perniagaan semasa.
Laporan Runcit Adyen Malaysia 2023 meninjau 1,000 pengguna dan 505 perniagaan di Malaysia.
Beliau berkata, perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu beralih dengan pantas kepada perdagangan bersepadu atau ‘unified commerce’ untuk menjadikan perniagaan lebih komprehensif.
Perdagangan bersepadu merujuk kepada ekosistem perniagaan daripada data pembayaran hingga komunikasi pelanggan yang diselaraskan menerusi satu platform.