KUALA LUMPUR: Perbelanjaan barang mewah dan bukan keperluan, yang memerlukan komitmen besar dari segi pembayaran, dijangka perlahan tahun ini di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup, demikian menurut penganalisis.
Penganalisis CGS-CIMB, Khoo Zhen Ye, berkata pihaknya melihat kuasa perbelanjaan barang bukan keperluan pengguna terhad tahun ini di tengah-tengah tekanan inflasi yang tinggi dan kitaran kadar faedah yang meningkat.
Beliau berkata, keadaan itu mendorong kepada corak penggunaan yang lebih perlahan terhadap barangan mewah bukan keperluan yang memerlukan komitmen yang besar dari segi pembayaran.
“Walaupun Retail Group Malaysia (RGM) menjangkakan jualan runcit Malaysia berkembang sebanyak 3.5 peratus pada 2023, kami menjangkakan kuasa perbelanjaan bukan keperluan yang lebih rendah di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam nota satu penyelidikan.
RGM menjangkakan jualan runcit Malaysia meningkat 3.5 peratus pada 2023, berikutan jangkaan pemulihan ekonomi selanjutnya dan ketibaan pelancong yang lebih tinggi.
Pada pembentangan Tinjauan Pengguna Runcit Malaysia bagi 2023, Pengarah Urusan RGM, Tan Hai Hsin, berkata perbelanjaan runcit masih boleh bertahan.
Beliau berkata, pengguna mungkin mengagihkan semula perbelanjaan ke arah barangan dan perkhidmatan berkualiti tinggi, sambil menurunkan pembelian tertentu kepada lebih banyak alternatif mampu milik untuk mengekalkan kualiti hidup.
Jangkaan itu berdasarkan pemerhatiannya terhadap corak pembelian pengguna, selain berpandangan bahawa trend itu akan memihak kepada peruncit dengan yang profil jenama kukuh yang menawarkan tawaran produk yang berbeza dan bernilai.
Beliau berkata, pihaknya melihat kembalinya pelancong asing secara beransur-ansur pada 2023, terutamanya pelancong China berikutan pembukaan semula sempadan negara itu, yang mana sepatutnya membawa kepada kadar yang lebih tinggi untuk peruncit.
Malah, katanya, Tourism Malaysia menyasarkan 15.6 juta ketibaan pelancong pada 2023 berbanding 9.2 juta pada 2022 dan 26.1 juta pada 2019.
“Ini boleh memberi petanda baik untuk jualan peruncit tertentu dengan operasi di luar negara.
“Kami menganggarkan perbelanjaan pelancong asing menyumbang sehingga lima hingga 15 peratus daripada jumlah jualan prapandemik bagi syarikat yang dinyatakan itu,” katanya. – BERITA HARIAN