KUALA LUMPUR: Pengguna sudah menyesuaikan diri dengan harga kereta yang dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), selepas tempoh pengecualian itu berakhir pada 30 Jun lalu dengan tempoh pendaftaran bakal tamat akhir bulan ini.
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang, berkata pengguna mula membuat tempahan khususnya untuk kereta yang baru dilancarkan.
“Sehingga Februari, PERODUA berjaya mencatat 220,000 tempahan yang menyamai jualan purata lima tahun sebelum pandemik iaitu 219,000 unit setahun.
“Dengan jualan disasarkan mencecah 314,000 unit atau 11 peratus lebih tinggi daripada tahun lalu, PERODUA hanya memerlukan 94,000 tempahan setahun dalam tempoh selebihnya pada 2023.
“Pada pandangan kami, angka ini sebahagian besarnya akan disokong oleh pelancaran model Axia serba baharu,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Beliau menambah, Toyota pula menyasarkan jualan sebanyak 93,000 unit pada 2023, dan sudah merekodkan 50,000 tempahan.
“PROTON dan Honda pula masing-masing menyasarkan 140,000 unit dan 80,000 unit jualan kereta pada 2023,” katanya.
Khai Xhiang berkata, RHB Investment Bank mengekalkan saranan wajaran tinggi terhadap syarikat-syarikat automotif, dipacu oleh jumlah tempahan kukuh dan disokong oleh pelancaran baharu akan datang pada tahun ini.
“Jumlah tempahan yang kukuh ini, seperti dibayangkan oleh pihak-pihak pengurusan (syarikat automotif) melepasi jangkaan kami, memandangkan terdapat kos pinjaman lebih tinggi dan keadaan inflasi berlarutan,” katanya.
Beliau menambah, duti eksais yang tidak berubah untuk tahun ini turut menyingkirkan ketidakpastian utama yang membelenggu sektor automotif.
“Dengan kekangan rantaian bekalan yang sudah mereda, syarikat-syarikat automotif dapat menguruskan pengeluaran dengan lebih baik dan menukarkan tempahan menjadi penghantaran, sekali gus menjana perolehan,” katanya.
Khai Xhiang berkata, pilihan utama RHB Investment Bank adalah UMW dan Bermaz Auto.
“Kami menggemari UMW sebagai proksi untuk PERODUA yang dijangka kukuh pada 2023, dan juga kerana segmen aeroangkasa syarikat mencatat pemulihan. Ia juga menawarkan kadar hasil dividen yang baik iaitu kira-kira empat peratus.
“Kami masih menyukai Bermaz Auto kerana ia dijangka bertumbuh merentasi ketiga-tiga jenama, didorong oleh pemasangan tempatan bagi Mazda CX-30, dan juga pengenalan model-model baharu Kia dan Peugeot yang berterusan,” katanya.
Bermaz Auto adalah satu-satunya syarikat di bawah penilaian RHB Investment Bank yang melakar prestasi luar biasa pada suku keempat 2022, dengan syarikat lain gagal mencapai jangkaan walaupun mencatatkan jumlah tempahan memberangsangkan.-BERITA HARIAN