Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Pengguna boleh membayar tol menggunakan kad debit, kredit bermula September, berikutan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka akan dilaksana di 12 lebuh raya secara berperingkat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini akan memudahkan urusan pembayaran serta melancarkan perjalanan pengguna lebuh raya.
“Kesemua (12 lebuh raya) telah bersetuju untuk melaksanakan sistem ini untuk memberi kaedah yang lebih mudah kepada pengguna untuk membuat pembayaran di plaza tol.
“Sistem pembayaran terbuka bermakna anda tidak lagi hanya tertakluk kepada satu atau dua e-dompet. Contohnya selama ini hanya menggunakan Touch n Go. Mengenai sistem pembayaran terbuka, bermakna ia akan menerima kad kredit, debit,” kata beliau pada sidang media Pembukaan Fasa 2 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) hari ini.
Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka akan memberikan pilihan cara pembayaran tol kepada pengguna selain kaedah pembayaran secara Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), kad Touch n Go dan SmartTag.
Tambah beliau, ia juga diperkenalkan sebagai peralihan ke arah pelaksanaan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), dijangka direalisasikan menjelang akhir tahun hadapan.
Sebanyak 12 lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Jambatan Pulau Pinang (JPP), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE), Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Terowong SMART, Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Duta – Ulu Klang (DUKE).