comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pengeluaran sawit bakal terkesan ketara El Nino tahun depan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino akan memberi kesan lebih ketara terhadap produktiviti minyak sawit mentah (MSM) mulai akhir suku kedua 2024, lantas meningkatkan lagi anggaran harga komoditi itu pada separuh kedua tahun depan.

RHB Research dalam satu nota penyelidikan berkata, kemungkinan El Nino yang kuat melanda kini pada 60 peratus, dengan ramalan menurut Biro Meteorologi Australia.

Namun, katanya Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Nasional Amerika Syarikat (AS) berkata keadaan El Nino telah mendatar pada pertengahan Oktober pada tahap kejadian fenomena yang sederhana.

“Menurut biro cuaca Indonesia, hujan di sesetengah kawasan di Sumatera dan Kalimantan telahpun berkurangan sejak Julai, yang mungkin menyebabkan tanaman lambat matang.

“Hal ini mungkin bermaksud pengeluaran keluaran puncak Indonesia tahun ini berkemungkinan ditangguhkan ke 2024.

“Kami ambil maklum bahawa pengeluaran di Indonesia telahpun menyusut 11.5 peratus pada Ogos berbanding bulan sebelumnya,” kata firma penyelidikan itu dalam nota yang ditulis oleh penganalisis, Hoe Lee Leng dan Syahril Hanafiah.

Sementara itu, RHB Research berkata stok minyak sawit Malaysia pada September melambung 5.8 peratus kepada 2.45 juta tan berbanding bulan sebelumnya, dengan pengeluaran dan eksport masing-masing berkembang sebanyak 5.9 peratus dan 21 peratus.

Ia berkata, nisbah stok berbanding penggunaan kini mencecah 13 peratus, mengatasi paras purata 15 tahun pada 10 peratus.

“Walaupun pengeluaran dijangka akan merosot pada bulan-bulan berikutnya, permintaan pasaran eksport mungkin akan semakin melemah kerana paras stok yang tinggi.

“Hal ini bermakna stok minyak sawit masih melebihi dua juta tan dan berpotensi berlarutan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini, mengikut pandangan kami,” katanya.

Loading...
Terkini