KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia berkurangan 7.6 peratus kepada 27,209 tan pada Februari 2023 daripada 29,451 tan yang dicatatkan pada Januari 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam kenyataan mengenai Perangkaan Getah Bulanan, Malaysia Februari 2023, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbandingan tahun ke tahun pula menunjukkan penurunan 2.7 peratus berbanding 27,950 tan pada Februari 2022.
Beliau berkata pengeluaran getah asli Malaysia pada Februari 2023 disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil sebanyak 87.3 peratus manakala sektor estet pada 12.7 peratus.
“Jumlah stok getah asli pada Februari 2023 susut 1.5 peratus kepada 191,636 tan daripada 194,563 tan pada Januari 2023. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.6 peratus diikuti kilang pengguna getah sebanyak 9.3 peratus dan estet getah pada 0.1 peratus,” katanya.
Beliau berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,393 tan pada Februari 2023 meningkat 18.4 peratus daripada 40,867 tan yang direkodkan pada Januari 2023.
“China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 56.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Februari 2023 diikuti Jerman pada 7.3 peratus; Türkiye sebanyak 3.6 peratus; Amerika Syarikat (AS) berjumlah 2.1 peratus dan Mesir pada 1.5 peratus.
Mohd Uzir berkata prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM0.99 bilion pada Februari 2023, meningkat 5.6 peratus daripada RM0.93 bilion pada Januari 2023,” katanya.
Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 7.3 peratus kepada 538.55 sen sekilogram pada Februari 2023 daripada 502.05 sen sekilogram pada Januari 2023.
Sekerap pula naik 2.3 peratus kepada 474.50 sen sekilogram pada Februari 2023 daripada 463.84 sen sekilogram pada Januari 2023.
“Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat 1.2 peratus hingga 7.2 peratus.
“Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing turun 0.7 peratus (daripada US$1.41 sekilogram kepada US$1.40 sekilogram) dan 0.8 peratus (daripada US$1.63 sekilogram kepada US$1.62 sekilogram),” menurut DOSM.
DOSM menjelaskan berdasarkan laporan Malaysia Rubber Board Digest pada Februari 2023, sentimen negatif pasaran getah Kuala Lumpur disebabkan oleh penurunan dalam harga minyak mentah, jualan kereta China yang kurang menggalakkan serta kebimbangan terhadap peningkatan kadar faedah yang dikenakan oleh AS. – BERNAMA