Tumpuan :
Detik Niaga

Pengecualian cukai, insentif lebih luas dalam Belanjawan 2024 lonjak daya tarikan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd mencadangkan pengecualian cukai dan insentif yang lebih luas diberikan kepada pelabur tempatan dan asing menerusi Belanjawan 2024 untuk meningkatkan daya tarikan pasaran modal Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Alvin Tan berkata insentif cukai boleh diberikan kepada syarikat yang menawarkan pilihan saham untuk pemilikan pekerja, yang akan meningkatkan penyertaan dalam Bursa Malaysia.

Beliau berkata langkah ini juga akan menggalakkan syarikat memilih insentif sedemikian untuk memberi manfaat kepada pekerja.

Beliau turut mencadangkan kredit cukai pelaburan dalam sektor atau syarikat pemula niaga khusus untuk menarik modal dalam sektor ekonomi utama.

“Menawarkan kredit cukai untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan juga boleh menarik pelaburan dalam syarikat inovatif,” katanya kepada Bernama.

Pemotongan cukai dividen juga penting untuk menggalakkan syarikat mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham, katanya.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini memaklumkan pihaknya terbuka untuk meneliti cara untuk memendekkan tempoh untuk memasuki pasaran bagi IPO.

Justeru, beliau menggesa kerajaan meneliti langkah untuk melaksanakan cukai keuntungan modal dalam keadaan pasaran dan ekonomi semasa.

Semasa Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menumpukan untuk memperluas asas cukai, ketelusan dalam sistem pemerolehan, menambah baik mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar serta pengurusan hutang dan liabiliti yang lebih baik.

Beliau sedang menggubal cukai baharu yang akan dilaksanakan pada 2024, termasuk cukai keuntungan modal namun, akan memastikan cukai itu tidak berada di luar kemampuan rakyat. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini