Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Penganalisis: Harga minyak sawit mentah merosot lebih 30% setakat 2023, tekanan jualan

 

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM), yang mana merosot lebih 30 peratus setakat ini bagi 2023 kepada sekitar lebih RM4,000 satu tan, dilihat terus berdepan tekanan jualan, demikian kata penganalisis.

Ia berikutan prospek eksport yang lemah ke negara pengimport utama seperti India dan China.

Permintaan untuk produk minyak sawit oleh pembeli global juga menjadi lemah pada April 2023 berikutan MSM kehilangan daya saing harga berbanding beberapa minyak pesaingnya seperti minyak kacang soya, rapeseed dan bunga matahari.

TA Securities dalam nota penyelidikannya berkata, pasaran dijangka tidak begitu optimistik mengenai permintaan minyak sawit memandangkan Mei dan Jun secara tradisinya adalah luar musim bagi penggunaan.

Ia berkata, risiko makro dan jangkaan kesan ekonomi global serta kadar faedah yang tinggi akan memberi kesan yang kuat terhadap harga komoditi.”Setakat ini bagi 2023, purata harga MSM menyusut 36 peratus kepada RM4,063 satu tan.

Harga MSM terus berdepan tekanan jualan berikutan tinjauan eksport yang lemah ke negara import utama,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Affin Hwang Investment Bank berkata, harga purata MSM Malaysia dalam empat bulan 2023 berada pada sekitar RM4,026.50 satu tan berbanding RM6,249.50 satu tan dalam tempoh sama pada 2022.

Ia berkata, harga MSM lemah pada minggu terakhir April 2023 tetapi kekal kukuh berbanding dengan minyak sayuran lain, berikutan sekatan eksport Indonesia.

Katanya, Kementerian Perdagangan Indonesia mengumumkan bahawa mulai 1 Mei 2023, akan ada perubahan kepada dasar obligasi pasaran domestik (DMO).

Jelasnya, perubahan itu merangkumi menurunkan sasaran minyak masak domestik daripada 450,000 tan kepada 300,000 tan sebulan; mengetatkan nisbah eksport DMO daripada 1:6 hingga 1:4; meningkatkan pelbagai insentif minyak masak bungkus dan pelepasan permit eksport yang digantung lebih awal dalam tempoh sembilan bulan akan datang.

Loading...
Terkini