KUALA LUMPUR: Pengambilalihan pembangunan Bandar Malaysia bagi memastikan tanah-tanah strategik dimanfaatkan sebaiknya untuk projek rakyat menerusi Belanjawan 2024 akan memberi banyak kemudahan kepada rakyat seiring dengan arus pembangunan.
Pensyarah Kanan Pengajian Harta Tanah, Kolej Pengajian Alam Bina Universiti Teknologi Mara Prof Madya Dr Mona Isa berkata langkah itu juga memperlihatkan bahawa kerajaan bukan hanya mengejar nilai komersial semata-mata tetapi ia menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan dan kebajikan rakyat.
“Lokasi Bandar Malaysia terletak di ibu negara…manakala sesuatu pembinaan rumah mampu milik itu memerlukan lokasi yang mampan agar penduduk mudah mendapatkan akses utama seperti pengangkutan awam.
“Contohnya, jika sesebuah projek kediaman dibina terlalu jauh dari pusat bandar, ia pastinya akan menyukarkan penduduk untuk berulang-alik ke tempat kerja sekali gus turut mempengaruhi kos lain,” katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI mengumumkan kerajaan mengambil alih pembangunan Bandar Malaysia bagi memastikan tanah-tanah strategik dimanfaatkan sebaiknya untuk projek rakyat berteraskan nilai MADANI.
Ini termasuk projek pembinaan rumah mampu milik untuk golongan veteran, mengambil kira kepentingan bumiputera di Wilayah Persekutuan selain penyediaan taman-taman dan ruang hijau yang boleh dimanfaatkan oleh semua penduduk Lembah Klang.
Dalam pada itu, menerusi Ikhtiar Kemudahan Asas Terbaik, ia merangkumi pemberian dana RM100 juta untuk menyelenggara perumahan berstrata kos rendah dan sederhana awam serta swasta di seluruh negara.
Pengarah (Harta Tanah) Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Muhammad Najib Razali menyifatkan ia sebagai berorientasikan masyarakat dan berfokuskan kepada keperluan mereka.
“Negara kita ’kaya’ dengan perumahan berstrata, namun masalah utama yang sering dihadapi adalah isu penyelenggaraan yang tidak konsisten sehingga menyebabkannya kelihatan daif dan usang…setiap perumahan berstrata ini perlu diselenggara dengan baik bagi memastikan kediaman yang diduduki dapat memberikan kualiti hidup yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Datuk Chang Kim Loong berkata dana jaminan RM1 bilion itu adalah untuk menggalakkan pemaju memulihkan projek terbengkalai.
“Adalah diharapkan dengan geran ini, pemaju boleh memulihkan projek terbengkalai tanpa memerlukan pembeli rumah sedia ada membayar wang dalam jumlah yang besar kerana kebanyakan pembeli rumah projek terbengkalai ini telah mengalami kerugian kewangan dan tidak berupaya untuk mengeluarkan modal yang besar untuk memulihkan projek mereka,” katanya.
“Kerajaan tidak mampu membiarkan projek terbengkalai itu ditinggalkan lagi oleh pemaju yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan harus memilih seperti projek terbengkalai yang hampir siap untuk melaksanakan proses pemulihan dengan keputusan maksimum serta dana jaminan kerajaan sedemikian,” katanya dalam kenyataan.
— BERNAMA