Tumpuan :
Detik Niaga

Penebusan insentif Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 rekod RM10.9 juta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR : Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang menawarkan insentif kepada rakyat dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat telah merekodkan nilai keseluruhan RM10.9 juta berjaya ditebus sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pelan yang bertujuan menyemarakkan lagi pelancongan domestik itu turut memanfaatkan seramai 248,450 individu dengan hasil jualan yang direkodkan sebanyak RM40.67 juta.

Selain itu, beliau berkata bagi merangsang pelancongan, Tourism Malaysia telah terlibat dalam 21 pameran pelancongan domestik meliputi Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia 2022, Tourism Malaysia Travel Fair dan pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) serta pameran pelancongan domestik negeri.

 

“Pameran pelancongan ini telah menarik penyertaan sebanyak 394 agensi dan pengusaha produk pelancongan termasuk penginapan dari seluruh negara dengan jumlah jualan keseluruhan mencecah RM15.2 juta,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Majlis Apresiasi Pelancongan Domestik di sini hari ini.

Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang dilancarkan pada Mei tahun lepas, menyasarkan meningkatkan mobiliti rakyat Malaysia untuk melancong dan berbelanja menerusi pelbagai diskaun pengangkutan darat, udara dan penginapan.

Khairul Firdaus berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Tourism Malaysia pada tahun ini akan terus melipatgandakan promosi pelancongan domestik termasuk dengan penjualan pakej secara terus kepada pengguna menerusi penganjuran Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia, Tourism Malaysia Travel Fair dan MATTA Fair.

“Saya percaya aktiviti seperti ‘glamping’ (perkhemahan mewah), agropelancongan, mencerap burung, mencerap bintang, inap desa, berbasikal serta jejak sejarah dan warisan antara yang boleh diteroka bagi mengukuhkan sektor ekopelancongan yang kian meningkat.

“Hakikatnya, penawaran pakej yang lebih kreatif perlu mengambil kira nilai tambah yang bakal diraih oleh para pelancong. Saya yakin masih terdapat banyak lagi lokasi dan produk pelancongan yang boleh diketengahkan di negara ini,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini