![](https://media.buletintv3.my/2023/08/BPlD0uBl-BULETIN-TV3-93.jpg)
KUALA LUMPUR: Minetech Resources Bhd , firma kejuruteraan awam dan pengeluar produk bitumen, meraih peningkatan 9.5 peratus dalam pendapatan kepada RM26.4 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun (S1 TK2024).Ia berbanding dengan pendapatan sebanyak RM24.1 juta pada S1 TK2023.
Pada suku dikaji, syarikat mencapai pertumbuhan dan keuntungan yang ketara di seluruh bahagian perniagaan utamanya.Hasil kejuruteraan awam mencecah RM17.5 juta, dan produk bitumin mencatatkan RM7.6 juta, yang mana kedua-duanya menyumbang keuntungan operasi masing-masing RM600,000 dan RM1.1 juta.
Syarikat dalam satu kenyataan berkata pertumbuhan dalam segmen ini menunjukkan keberkesanan keputusan strategik yang dibuat oleh Minetech, meletakkan Syarikat dengan baik untuk baki tahun fiskal semasa.
Operasi syarikat, katanya, kekal kukuh dengan segmen kejuruteraan awam mendapat manfaat daripada hasil lebih tinggi yang dicatatkan oleh Lombong Emas Selinsing sebanyak RM12.9 juta dan kerja-kerja infrastruktur di Emerald 9, Cheras.
Hasil produk bitumin meningkat disebabkan oleh peningkatan dalam jualan Coating Enamel ke pasaran tempatan, dan peningkatan pendapatan operasi terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam kecekapan pengeluaran.
Pengarah Eksekutif Minetech, Matt Chin berkata, perniagaan kejuruteraan awam dan produk bitumen terus menjadi tonggak kekuatan syarikat.
“Peningkatan jumlah kerja di Lombong Emas Selinsing, serta peningkatan dalam jualan enamel salutan, menyumbang kepada pertumbuhan hasil yang ketara ini.
Beliau menambah, langkah proaktif dan kebolehsuaian Kumpulan dalam menghadapi cabaran membawa kepada perolehan projek bernilai RM56.5 juta, termasuk inisiatif penting negara seperti Laluan Bulatan MRT, yang mencerminkan peranan penting Minetech dalam pembangunan infrastruktur negara.
Kumpulan hari ini telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-21 (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), di mana semua resolusi semasa AGM dan EGM telah diluluskan sebulat suara.Ia termasuk cadangan variasi penting bagi penggunaan hasil yang timbul daripada terbitan hak saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus dan penempatan persendirian.