KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd merekod kenaikan dalam keuntungan bersihnya bagi suku ketiga tahun kewangan 2023 (3Q FY2023) kepada RM452.64 juta daripada RM403.29 juta pada suku ketiga 2022 (3Q FY2022).
Prestasinya meningkat ekoran pendapatan berasaskan dana daripada aset-aset faedah terutamanya daripada faedah ke atas pinjaman pelanggan dan sekuriti pendapatan tetap.
Bagi suku berakhir 31 Dis, 2022, hasil meningkat lebih tinggi pada RM1.23 bilion berbanding RM1.18 bilion sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi makro, kumpulan itu telah menghasilkan keputusan yang berdaya tahan dengan pertumbuhan yang mampan dalam keuntungan dan pendapatannya.
“Bahagian-bahagian utama menunjukkan prestasi yang baik, disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang kukuh dan pengembangan margin faedah bersih,” katanya.
Keuntungan bersih kumulatif sembilan bulan lebih tinggi pada RM1.30 bilion berbanding RM1.11 bilion sebelum ini, manakala hasil pada RM3.57 bilion berbanding RM3.54 bilion sebelumnya.
Kumpulan mencatatkan caj rosot nilai bersih sebanyak RM416.1 juta bagi tempoh kewangan sembilan bulan termasuk rosot nilai bersih AmGeneral Insurance Bhd sebanyak RM113.2 juta.
AmGeneral dilupuskan kepada Liberty Insurance Bhd.
“Ini adalah 41.8 peratus lebih rendah berbanding caj RM714.6 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh peruntukan tidak berulang yang diambil ke atas pendedahan terhadap minyak dan gas dalam sembilan bulan tahun kewangan 2022 untuk Perbankan Borong serta tindanan yang lebih rendah.”
Ini sebahagiannya telah diimbangi oleh peruntukan yang lebih tinggi yang direkodkan untuk Perbankan Runcit dan Perbankan Perniagaan dalam tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Dis, 2022.
Pinjaman dan pembiayaan kasar keseluruhan meningkat dengan pesat sebanyak 5.3 peratus atau RM6.3 bilion sehingga tahun terkini kepada RM126.3 bilion, dengan pertumbuhan pelbagai yang baik merentas semua segmen perniagaan.
Pinjaman dalam Perbankan Runcit meningkat RM3.3 bilion (+4.8 peratus), Perbankan Borong naik RM1.6 bilion (+5.2 peratus) dan Perbankan Perniagaan tumbuh RM1.3 bilion (+7.1 peratus). Deposit daripada pelanggan meningkat 1.4 peratus kepada RM124.3 bilion (Tahun Kewangan 2022 RM122.6 bilion), disokong oleh pertumbuhan konsisten dalam deposit runcit.
Permodalan kumpulan kekal baik, dengan keputusan daripada ujian tekanan menunjukkan bahawa kumpulan mempunyai kapasiti untuk menyerap kerugian yang mencukupi bagi mengekalkan nisbah modal melebihi keperluan kawal selia dan sasaran modal dalaman, katanya.
Bagi tinjauan akan datang, ia berkata Kumpulan AmBank kekal di landasan untuk menghasilkan prestasi kewangan yang kukuh sepanjang tahun kewangan 2023 kerana ia mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan bagi pembiayaan, aliran menaik kadar dasar semalaman (OPR) dan peruntukan yang lebih rendah berikutan ekonomi yang bertambah baik.
“Tahun 2022 secara amnya, adalah tahun yang positif dari segi ekonomi, seperti yang dibuktikan oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.7 peratus.
“Sebagai kesan daripada pemulihan ekonomi domestik yang disokong dengan baik oleh permintaan dalam negeri, memandangkan landskap pekerjaan dan pendapatan tempatan yang semakin bertambah baik, sektor perbankan sepatutnya mampu berjaya menjelang 2023,” tambah Sulaiman.
BERNAMA