Tumpuan :
Detik Niaga

Pendapatan bersih KWAP lonjak lebih 36 kali ganda tahun 2023

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merekod prestasi memberangsangkan tahun lalu, dengan pertumbuhan saiz dana 7.4 peratus tahun lalu ke RM169.8 bilion.

Angka tersebut selepas mengambil kira pengeluaran dana KWAP sebanyak RM3 bilion untuk membiayai sebahagian daripada liabiliti pencen kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata KWAP mencapai pendapatan bersih sebanyak RM9.7 bilion tahun lalu, lonjakan ketara berbanding RM263 juta yang direkod dalam tempoh mencabar tahun 2022.

Selain itu, KWAP turut meraih pulangan pelaburan sebanyak 8.2 peratus bagi tahun 2023.

“KWAP kekal sebagai pelabur utama di Malaysia dengan 75.6 peratus daripada aset pelaburannya dilaburkan di Malaysia, hanya 24.4 peratus dilaburkan di pasaran antarabangsa.

“Daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan, pelaburan awam membentuk 87.7 peratus atau RM149 bilion, manakala bakinya 12.3 peratus atau RM20.8 bilion adalah dalam pasaran swasta,” katanya sewaktu membentangkan prestasi kewangan KWAP tahun lalu di ibu pejabatnya pagi tadi.

Dalam pada itu, kata beliau, 12 rakan kongsi am (GP) global utama di bawah Dana Pemacu akan diumumkan selewatnya suku ke-4 tahun ini.

KWAP menerima minat ramai rakan kongsi am (GP) global utama sehingga mencecah 100 syarikat.

Kemudian disenarai pendek ke 40 syarikat pengurus dana global dan 12 akhirnya.

“Kesemua 12 rakan kongsi am ini akan menubuhkan syarikat usahasama dengan syarikat tempatan dan mempunyai kehadiran dalam negara” katanya.

Pengurus dana global ini akan mengurus 12 dana di bawah Dana Pemacu, dengan empat dana masing-masing dalam tiga aset berbeza iaitu ekuiti persendirian, infrastruktur dan aset hartanah.

Kesemua 12 dana itu akan tertumpu sekuran-kurangnya 40 peratus di Malaysia.

Pengurus dana ini juga akan dibenarkan mencari peluang pelaburan di luar Malaysia.

Dana Pemacu adalah inisiatif pelaburan modal swasta baharu dengan peruntukan RM6 bilion yang dilancarkan Mei lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini