comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Penangguhan EUDR beri masa persiapan negara pengeluar sawit

Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada sidang media Forum Minyak Sawit Malaysia Kuala Lumpur, hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Penangguhan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) sehingga akhir 2025 oleh Suruhanjaya Eropah memberi masa kepada negara pengeluar minyak sawit untuk mengambil langkah-langkah bagi mematuhi dan menambahbaik dasar kemampanan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pada masa yang sama, isu kritikal seperti mewujudkan kriteria penanda aras yang telus perlu dilihat dengan teliti.

“Ini supaya tidak berlaku situasi tidak adil yang melabelkan negara pengeluar sebagai berisiko tinggi.

“Kami berharap bahawa Parlimen EU akan memainkan peranan yang lebih akomodatif untuk tangani perkara ini untuk kepentingan dunia,” katanya pada Forum Minyak Sawit Malaysia Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi Malaysia, negara sentiasa bekerja ke arah mematuhi sasaran kemampanan global.

Antaranya, Rancangan Malaysia ke-12 iaitu sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050 dan COP21 Paris untuk mengurangkan keamatan karbon berbanding KDNK sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Malaysia juga komited terhadap COP26 Glasgow untuk mengurangkan pelepasan metana global sebanyak 30 peratus menjelang 2030 serta Sidang Kemuncak Bumi Rio 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus tutupan hutan.

Tambah beliau, Malaysia juga mempunyai skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang menjadi asas untuk menangani isu-isu utama seperti kebolehkesanan, dasar bebas penebangan hutan, keperluan untuk mempunyai hak milik tanah yang sah dan pematuhan terhadap amalan buruh antarabangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini