KUALA LUMPUR: Pemegang saham Time dotCom Bhd (Time) bakal memperoleh dividen khas bernilai RM1 bilion susulan penjualan 49 peratus kepentingan dalam perniagaan pusat data AIMS Group kepada DigitalBridge Group Inc, salah satu pemilik dan pengendali infrastruktur digital terkemuka global pada harga kira-kira RM2 bilion.
Penjualan kepentingan itu adalah bagi mempercepatkan pengembangan perniagaan pusat data AIMS Group, pusat data berpusatkan ekosistem yang terkemuka di Malaysia ke seluruh Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif Time, Afzal Abdul Rahim, berkata kajian strategik perniagaan pusat data oleh syarikat itu pada akhir 2021 mendapati bahawa terdapat peluang besar dalam pasaran yang kurang mendapat liputan di seluruh Asia.
Justeru, beliau berkata Time mengambil peluang ini secara agresif kerana ia memerlukan pelaburan yang besar serta pemahaman yang mendalam terhadap trend global.
“Kami merasakan bahawa cita-cita ini akan menjadi terbaik untuk direalisasikan dengan rakan kongsi strategik yang mempunyai rekod global terbaik.”Kami percaya bahawa DigitalBridge adalah rakan kongsi yang tepat kerana mereka komited untuk membina AIMS dan memanfaatkan kekuatannya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Afzal berkata, Time melihat kerjasama dengan DigitalBridge sebagai perkongsian sebenar yang akan membolehkannya memanfaatkan pengalaman global dalam pasaran berbeza.Katanya, sebagai sebahagian daripada perkongsian strategik, keseluruhan perniagaan AIMS dijangka bernilai RM3.2 bilion, berbeza dengan kontrak semasanya sebanyak RM240 juta dan mewakili keuntungan yang ketara sejak Time pertama kali memperoleh pusat data itu pada 2012 dengan harga RM119 juta.
“Perkongsian strategik ini memerlukan pelupusan segera kepentingan Time sebanyak 49 peratus dan 100 peratus saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus dalam Pusat Data AIMS Holding Sdn Bhd, serta 21 peratus daripada saham biasa dalam AIMS Data Center Limited (Thailand). “Urus niaga itu dijangka dimuktamadkan pada penghujung suku kedua 2023, tertakluk kepada perkara tertentu. Perkongsian strategik ini membolehkan kami membuat penilaian yang besar daripada pelaburan telah dibuat dalam AIMS selama ini,” katanya.
Kerjasama antara Time dan DigitalBridge adalah berdasarkan kepada penggabungan yang unik dengan latar belakang berbeza iaitu telekomunikasi terfokus dan pengendali pusat data dengan aset di seluruh ASEAN. Kedua-dua syarikat juga menjadi pelabur infrastruktur digital yang telah membolehkan pertumbuhan beberapa pusat data dan digital global.
“Kami membayangkan pengembangan pesat dan kemudahan pusat data taktikal merentasi bandar utama dan sekunder di ASEAN.
“Ia seterusnya akan memberi tumpuan menyediakan perkhidmatan terbaik dalam kelasnya kepada syarikat multinasional, perusahaan besar, penyedia kandungan, penyedia infrastruktur internet dan institusi kewangan.
“Rancangan akan berpusat pada AIMS sebagai platform utama untuk pengembangan di samping menjadikan Malaysia hab teras dan pintu masuk untuk ketersambungan yang lebih besar,” kata Time. – BHONLINE