comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pembukaan MRT2 tingkatkan jumlah penumpang dua kali ganda

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tiga kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim (dua kiri) di stesen Titiwangsa ketika mengadakan lawatan kerja di MRT2 Laluan Putrajaya

Oleh Juliana Pija Ismail

SUNGAI BULOH: Transit Aliran Massa (MRT2) yang akan beroperasi pertengahan Mac ini dijangka dapat menarik lebih ramai pengguna pengangkutan awam menggunakan perkhidmatan itu.

Ia sekaligus memastikan sasaran 40 peratus penumpang pengangkutan awam dapat dicapai berbanding kurang 20 peratus ketika ini.

Jumlah penumpang harian bagi perkhidmatan MRT2 apabila beroperasi nanti dijangka mampu mencecah kira-kira 200,000 orang dalam masa dua tahun.

Bagi meningkatkan jumlah penumpang, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, operasi MRT2 akan dimulakan dengan frekuensi lima minit selain sokongan lebih 100 buah bas pengantara.

Pendekatan lain turut dipertimbang termasuk memperkenalkan konsep ‘ride sharing’ kepada syarikat e-hailing bagi memastikan perjalanan ke stesen dapat dioptimumkan dengan tambang lebih murah.

“Kita memberikan keutamaan kepada aspek kebolehpercayaan dan isu penyelenggaraan akan diberi perhatian lebih besar untuk suma kemudahan yang kita ada termasuk LRT Laluan Ampang dan Laluan Kelana Jaya.

Kita ambil pengajaran dan pengalaman itu untuk kita aplikasikan dalam perkhidmatan baru seperti MRT1 dan MRT2” katanya pada sidang media di Depoh MRT Sungai Buloh, dekat sini hari ini.

Projek MRT Laluan Putrajaya menelan belanja RM30.53 bilion untuk kos pembinaan dan sistem meliputi 36 stesen melibatkan 49 set kereta api.

Dalam pada itu, Stesen Titiwangsa akan dibangunkan sebagai hab utama pengangkutan awam di Lembah Klang yang menghubungkan lima mod perkhidmatan.

Antaranya LRT Laluan Ampang dan Seri Petaling serta MRT2 dan MRT3.

Pengoperasian penuh MRT Putrajaya Fasa Dua juga akan memudahkan orang ramai dan pesakit Hospital Kuala Lumpur mendapatkan rawatan menerusi pembukaan stesen di hospital tersebut yang dilengkapi kemudahan laluan gerak atau walkalator sepanjang 400 meter.

Loading...
Terkini