![](https://media.buletintv3.my/2023/04/RQiSw2oS-CMS-PPZ-6.jpg)
SEPANG: NCT Group of Companies (NCT Group) melancarkan Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP), projek utama dalam Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM10 bilion.
NSIP membabitkan keluasan keseluruhan 296.43 hektar, dijangka menampilkan infrastruktur termaju, kecerdasan buatan (AI), teknologi internet kebendaan (IoT), analisis data terkini dan pelbagai kemajuan terkini lain dalam pendigitalan serta automasi dengan pembangunan keseluruhan 10 tahun.
Fasa pertama berkeluasan 93.08 haktar daripada tiga fasa pembangunan taman perindustrian itu akan terdiri daripada 101 unit dan 27 plot yang menampilkan kilang semi-D, kilang berkembar, kilang berkembar pautan dan plot perindustrian sehingga 20.23 hektar dengan anggaran GDV RM2 bilion dijangka siap menjelang suku keempat 2025.
Sebagai Taman Perindustrian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan pensijilan GreenRE, NSIP akan dilengkapi sepenuhnya dengan kilang sedia solar, sistem penuaian air hujan, serta sistem pengurusan air dan sisa, bagi mengurangkan jejak karbon industri dan komersial serta menggalakkan amalan perniagaan yang mampan.
“NSIP ialah projek berwawasan yang bukan sahaja mewujudkan ekosistem yang merangkumi teknologi dan inovasi tetapi juga memberi peluang kepada pelabur yang berfikiran sama untuk beroperasi dalam persekitaran digital yang unik dan maju dari segi teknologi untuk perniagaan mereka berkembang maju.
“Menerusi projek mega ini, kami berharap dapat mewujudkan lebih daripada 50,000 pekerjaan semasa pembinaan bersama-sama dengan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia sebaik sahaja ia siap,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah NSIP di sini, hari ini.
Majlis pecah tanah NSIP disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Yang turut serta, Speaker Kerajaan Negeri Selangor, Ng Suee Lim. – BERITA HARIAN