KUALA LUMPUR: Pematuhan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam industri produk kayu dan perabot Malaysia masih agak rendah pada kadar 15 peratus, kata seorang ahli akademik.
Ketua Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Jabatan Industri Kayu dan Gentian Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Jegatheswaran Ratnasingam berkata ini berdasarkan kajian skop sampel terhad kira-kira 300 pengilang, yang terdiri daripada pengeluar besar, sederhana dan kecil.
“Salah satu cabaran terbesar ialah kebanyakan orang (pengilang) tidak pasti di mana hendak bermula.
“Kesedaran masih belum ada dan keupayaan untuk membuat pengukuran masih rendah,” katanya kepada Bernama selepas membentangkan seminar industri bertajuk “ESG: Adakah ia akan mengubah industri perabot Malaysia?” di Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia 2023 di sini hari ini.
Jegatheswaran berkata tahap pematuhan terhadap keperluan alam sekitar dalam industri produk kayu dan perabot Malaysia, bagaimanapun, telah meningkat berbanding dengan tadbir urus korporat dan aspek sosial.
“Keperluan alam sekitar dalam industri meningkat, itu sebenarnya menjadi tumpuan kebanyakan pengilang kerana orang (pengilang) mahu seperti penggunaan kayu yang diperakui, mereka mahu menggunakan gam dan bahan salutan yang mempunyai pelepasan rendah.
“Tetapi aspek-aspek lain seperti tadbir urus korporat dan aspek sosial belum bersedia lagi,” katanya.
Beliau berkata pematuhan ESG dalam industri itu dijangka meningkat sedikit sebanyak sekitar tiga peratus tahun ini.
Jegatheswaran berkata ESG dalam industri penting sebagai alat untuk menjadikan industri berubah dan lebih berdaya saing.
“Apabila kita bercakap tentang sosial alam sekitar, kita benar-benar bercakap tentang manusia, planet dan keuntungan — tiga aspek utama.
Beliau berkata, industri perabot kayu secara tradisinya dianggap sebagai bergaji rendah dan juga mendapat stigma sosial bahawa ia sangat kotor.
“Diharap melalui pematuhan ESG ia akan mengubah industri menjadi industri yang lebih baik, lebih bernilai tambah dan lebih berdaya saing kerana itu adalah kunci kepada pematuhan ini,” katanya.
Beliau berkata pematuhan ESG adalah antara keperluan pasaran pada masa kini dan beberapa negara turut menjadikannya sebagai undang-undang.
“Semoga ini akan menjadi kebiasaan, orang ramai (pengilang) akan menerima secara sukarela untuk mematuhi perkara ini mungkin apabila mereka memulakan perniagaan mereka. Ini harapan saya dalam jangka panjang,” katanya. — BERNAMA