comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

‘Pemalsuan ujian’, PERODUA, UMW Toyota tidak perlu belanja kos tambahan – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang kos tambahan dijangka perlu dibelanjakan oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn (PERODUA) dan UMW Toyota Motor membabitkan isu ‘pemalsuan’ sebahagian ujian keselamatan pelanggaran sisi pintu oleh Daihatsu Motor Co Ltd (Daihatsu).

Isu berkaitan pemalsuan piawaian keselamatan Daihatsu dijangka tidak menjejaskan jualan PERODUA dan UMW Toyota.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang, berkata jika terdapat sebarang denda akibat ujian keselamatan yang dimanipulasi itu, ia akan dilunaskan Daihatsu.

Dalam kes panggilan balik kenderaan yang berkemungkinan tidak akan berlaku, syarikat induk (iaitu Toyota/Daihatsu dan PERODUA) akan menanggung kosnya,” katanya dalam nota penyelidikan.

Memetik laporan Reuters, akhir bulan lalu, sekutu Toyota Motor Corporation (Toyota), Daihatsu telah memalsukan sebahagian ujian keselamatan perlanggaran sisi pintu yang dijalankan untuk lebih 88,000 kereta kecil,  kebanyakannya dijual di bawah jenama Toyota.

Dianggarkan 11,800 Perodua Axia  terjejas dengan insiden pemalsuan ujian keselamatan oleh Daihatsu.

Dikatakan kemasan pintu pada kenderaan yang terjejas telah diubah suai dengan ‘takuk’ untuk meminimumkan risiko dalam ujian bahagian dalam pintu boleh pecah dengan bucu tajam dan menyebabkan kecederaan kepada penumpang apabila beg udara sisi digunakan dalam kemalangan.

Daihatsu mengaku memanipulasi ujian keselamatan pintu dengan menambah ‘takuk’ (notch) keselamatan pada kenderaan ujian.

Perkara terbabit memberi kesan kepada permohonan kelulusan kawal selia   empat model kenderaan, termasuk Perodua Axia dan Toyota Vios yang baru dilancarkan.

Pada Jumaat, penghantaran kenderaan yang terkesan digantung sementara menunggu maklumat lanjut.

Khai Xhiang berkata, pada hujung minggu lalu, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dan UMW Toyota Motor mengesahkan Axia dan Vios tidak terkesan akibat ujian keselamatan yang diubah suai Daihatsu.

“Syarikat berkenaan berkata unit yang dihasilkan dan diserahkan kepada pelanggan, semuanya memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan. Justeru, tiada keperluan untuk memanggil balik kenderaan. Berdasarkan semakan kami dengan pengedar pada Ahad, tiada pelanggan yang membuat pembatalan,” katanya.

Kenyataan PERODUA memberi jaminan pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia model baharu tetap sah dan diperakui walaupun Daihatsu Co Ltd membuat pendedahan mengenai ‘ketidakaturan prosedur’ ujian.

Loading...
Terkini