Tumpuan :
Detik Niaga

Pemaju rumah komited sediakan rumah mampu milik walaupun berdepan cabaran 

Oleh: Amanda Lopez

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) akan terus menyokong agenda sosial negara dalam penyediaan rumah mampu milik, meskipun lalui tempoh mencabar.

Presidennya, Datuk NK Tong berkata memang menjadi satu keperluan untuk menyediakan rumah mampu milik sebagai sebahagian proses kelulusan projek perumahan dalam negara.

“Kami berbesar hati semasa makan malam tahunan kami baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pihak berkuasa negeri mesti mempercepatkan proses kelulusan ke bawah tiga bulan. Dengan berbuat demikian, bukan sahaja ianya melancarkan mekanisme menyiapkan projek perumahan berkenaan malah ia juga mpercepatkan penghantaran perumahan mampu milik tersebut.” katanya dalam satu kenyataan video kepada Buletin TV3.

Semalam di Parlimen, Perdana Menteri menekankan dasar mewajibkan pembinaan rumah mampu milik atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam semua projek perumahan yang diluluskan di Kuala Lumpur.

Tegas Datuk Seri Anwar, sasaran sebelum ini untuk membina lebih banyak rumah mampu milik belum tercapai, justeru perubahan penetapan syarat itu bertujuan memastikan jumlah rumah berkenaan dapat ditingkatkan, untuk keperluan rakyat tidak berkemampuan.

Minggu lalu pula, REHDA menyaran kerajaan untuk memikul tanggungjawab pembangunan rumah mampu milik sepenuhnya – sepertimana yang diamalkan di banyak negara di serata dunia.

Ini dapat memastikan impak sistem subsidi bersilang yang meningkatkan harga rumah bagi golongan M40 dapat diatasi.

Baru-baru ini, REHDA mengesan masalah dengan sistem subsidi bersilang kerana ia boleh menyebabkan projek lewat, sakit dan terbengkalai.

Situasi ini timbul kerana subsidi bersilang menyebabkan harga perumahan M40 meningkat dan tidak terjual.

Loading...
Terkini