KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Berhad sedang mengkaji cadangan pembangunan Tiara Residence susulan bantahan yang dilakukan penduduk Bukit Jelutong, pada Sabtu lalu.Syarikat berkata maklum balas daripada penduduk amat dihargai dan akan diambil kira sebagai input berharga terhadap projek pembangunan berkenaan.
“Kami sedang mengkaji cadangan pembangunan terbabit dan penduduk yang prihatin serta pihak berkepentingan akan dirujuk sebagai sebahagian daripada proses.”Kami memahami dan akan terus meneroka pelbagai kemungkinan jalan penyelesaian dengan memikirkan kepentingan semua pihak yang terbabit.
“Syarikat juga mengakui bahawa perkara ini memerlukan perancangan yang teliti, tindakan yang bernas dan akan kekal komited dengan jalan ini,” jelasnya menerusi kenyataan, hari ini.Menurut pemaju itu, pihaknya sudah mengundang Persatuan Penduduk Bukit Jelutong (BJRA) untuk sesi perbincangan bagi meneroka resolusi secara kolaboratif.
Sabtu lalu, lebih 1,000 penduduk Bukit Jelutong mendesak pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak meneruskan projek pembangunan di padang hijau yang berkeluasan kira-kira 28 hektar di lokasi berkenaan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Jelutong (BJRA), Zien Hashim berkata, hasrat pemaju membangunkan 425 unit rumah di atas padang hijau terakhir tempat penduduk di situ beriadah amat mengecewakan.Beliau berkata, padang hijau berkenaan perlu dikekalkan kerana telah menjadi kawasan riadah penduduk setempat sejak tiga dekad lalu.