KUALA LUMPUR: Semakin banyak pemaju hartanah dilihat sedang meninjau dengan agresif untuk menambah simpanan tanah pada tahun ini.
Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), AME Elite Consortium Bhd, Mah Sing Group Bhd dan Avaland Bhd adalah antara pemaju yang sedang mencari bidang tanah seperti di kawasan yang berkepentingan terutamanya Iskandar Malaysia dan Lembah Klang.
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Loong Kok Wen, berkata pada September 2023, EcoWorld memperoleh 404 ekar tanah di Kulai daripada IOI Properties Group Bhd.
Katanya, lebih banyak aktiviti perindustrian akan dijalankan dalam jangka pendek, di antara Malaysia dan Singapura dengan kerajaan dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura pada Khamis ini.
“Hal ini kerana, SEZ akan menjadi perancangan yang lebih baik dan lebih mudah dalam pengaturan bagi penduduk yang perlu bekerja di kedua-dua belah tambak.
“Potensi dalam pengaturan cukai khas mungkin dicadangkan untuk memastikan pengaliran barangan yang lebih lancar antara kedua-dua pihak di bawah SEZ,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Kok Wen berkata, baru-baru ini dilaporkan bahawa SEZ menyasarkan untuk menarik sembilan sektor iaitu logistik, tenaga, pembuatan, pelancongan, penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan dan ekonomi digital.
Katanya, perjanjian muktamad antara SEZ ini, termasuklah lokasi fizikalnya yang dijangka ditandatangani pada suku keempat 2024.