comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Peluasan skop SST tambah hasil negara lebih pantas berbanding GST – Amir Hamzah

Amir Hamzah pada sesi Persidangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Kelestarian 2024

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Kutipan hasil negara menerusi peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilihat lebih pantas berbanding melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jika GST dilaksanakan semula, ia akan mengambil masa 14 hingga 18 bulan, sekaligus menjejaskan kutipan hasil negara.

“Kerajaan mempunyai komitmen di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang menjelang 2028 harus mencapai segala sasaran yang digariskan,” katanya dalam sesi Bual Bicara Santai: Belanjawan 2025 dan Peranannya Ke Arah Kesaksamaan Sosial, di sini, hari ini.

Sesi berkenaan diadakan sempena Persidangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Kelestarian 2024 – Memartabatkan Matlamat Sosial Dalam Laluan ke Hadapan Malaysia anjuran CGS International Securities Malaysia.

Menurut FRA, kerajaan perlu menurukan defisit belanjawan kepada tiga peratus atau lebih rendah seawal 2026 atau selewatnya pada 2028.

Defisit fiskal juga diunjur berkurangan kepada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025 berbanding anggaran 4.3 peratus tahun ini.

Sementara itu, katanya pelaksanaan semula GST dilihat seperti menghukum golongan bawahan dalam masyarakat berbanding sistem semasa ekoran kadar gaji yang masih rendah.

Dalam pada itu, katanya, cadangan mewajibkan pekerja asing mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bertujuan menangani isu perbezaan gaji antara pekerja tempatan dan asing sejajar dengan usaha negara meningkatkan dasar gaji minimum.

Amir Hamzah berkata, langkah terbaharu itu menunjukkan kebajikan pekerja asing semakin dipelihara dan mematuhi piaiwan antarabangsa.

“Tiada perbezaan antara pekerja tempatan dan asing. Kerajaan ingin menggalakkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.” katanya

Jelasnya lagi, apabila pekerja asing dikehendaki mencarum KWSP, kos menggaji warga asing semakin hampir dengan rakyat tempatan.

Bagaimanapun, KWSP sedang meneliti mekanisme caruman kepada pekerja asing dan dijangka mengumumkannya pada tahun depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini