Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Pelaksanaan subsidi bersasar akan lonjakan inflasi – Penganalisis

FOTO: NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

KUALA LUMPUR: Kemungkinan untuk kerajaan melaksanakan subsidi bersasar terutama bagi bahan api dalam tempoh terdekat dilihat sangat mencabar memandangkan ia akan memberi kesan meningkat terhadap inflasi yang mana menjadi kebimbangan utama ketika ini, demikian kata penganalisis. Justeru, langkah segera bagi mengurangkan kekangan fiskal defisit negara ialah menangani ketirisan hasil dan membuat semakan semula struktur kos projek kerajaan.

TA Securities berpandangan kerajaan tidak mungkin melaksanakan subsidi bersasar terutama membabitkan harga bahan api dalam tempoh terdekat memandangkan pelaksanaannya akan memberi kesan meningkat terhadap inflasi.Katanya, kerajaan dijangka memperkenalkan langkah yang lebih konkrit untuk menangani kos sara hidup yang tinggi dan memecahkan monopoli.

Jelasnya, kerajaan juga boleh membenarkan import lebih murah jika perlu, menangani amalan tidak sihat seperti aktiviti sorok barang oleh orang tengah, memperkenalkan insentif bagi menggalakkan pengeluaran barangan keperluan tempatan dan meningkatkan jaminan makanan.”Kami tidak menjangkakan langkah subsidi bersasar utama dilaksanakan dalam masa terdekat, terutamanya harga bahan api yang akan memberi kesan meningkat kepada inflasi.

“Sebaliknya, kerajaan boleh menyelesaikan perkara yang mudah dulu dan cuba menutup defisit fiskal dengan menangani ketirisan hasil dan mengkaji semula struktur kos projek kerajaan,” katanya dalam nota penyelidikannya.

TA Securities berkata, adalah tidak dinafikan kekangan fiskal akan menjejaskan perbelanjaan modal sektor awam, lebih-lebih lagi dengan perubahan kerajaan.Ia berkata, terdapat peluang tinggi untuk Bajet 2023 yang asal dikurangkan apabila belanjawan baharu dibentangkan tahun depan.

Namun, pihaknya tidak menjangkakan ia memberi kesan negatif yang besar kepada aliran projek kerana keutamaan boleh diberikan kepada projek berimpak tinggi untuk mengimbangi perbelanjaan yang lebih rendah.Justeru, jelasnya, ia sepatutnya melengkapkan inisiatif sektor swasta.

“Walau bagaimanapun, ada kemungkinan untuk peningkatan dalam peruntukan bajet jika kelembapan luaran dijangka akan lebih ketara,” katanya.

TA Securities berkata, penerusan projek berkaitan pengangkutan berskala besar seperti ECRL, LRT3 dan RTS Link juga akan memberi dorongan kepada pertumbuhan dalam sektor awam.Ia berkata, semua inisiatif berkenaan dijangka mengembangkan pelaburan awam sebanyak 2.1 peratus pada 2023, manakala penggunaan awam pula diunjurkan berkembang 3.1 peratus.

Firma pembrokeran itu menjangkakan, pelaburan swasta meningkat 4.9 peratus pada 2023, lebih kukuh berbanding jangkaan pertumbuhan 3.0 peratus pada 2022 berikutan peningkatan perbelanjaan modal dalam insentif teknologi sektor pembuatan dan perkhidmatan, khususnya mesin dan peralatan berkaitan ICT.Katanya, ia juga selaras dengan peningkatan dalam pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI).

Loading...
Terkini