KUALA LUMPUR:Pelaksanaan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan yang akan memberi kesan pengganda bagi Malaysia dan Singapura, kata Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura (MSBC) Tan Sri Nik Norzrul Thani.
“Memandangkan masa perjalanan yang dikurangkan, ini pasti akan mengubah corak perniagaan di rantau ini beroperasi,” katanya dalam kenyataan bersama antara Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) hari ini.
Artikel berkaitan: Kerajaan & syarikat Jepun ikuti rapat perbincangan projek HSR KL-Singapura – Duta Jepun ke Malaysia
Pengerusi Eksekutif YCH Group Robert Yap berkata MSBC akan terus menjadi platform strategik yang mana syarikat-syarikat Singapura dan Malaysia dapat berkumpul untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing dan meneroka peluang perniagaan dalam sektor utama yang mempunyai kepentingan bersama.
“Daripada keputusan Kaji Selidik Perniagaan Kebangsaan Persekutuan Perniagaan Singapura 2022/2023, Malaysia kekal sebagai antara tiga negara teratas untuk pengantarabangsaan masa depan oleh syarikat Singapura,” katanya.
Artikel berkaitan: [VIDEO] PM Anwar: Anthony Loke akan kemuka cadangan baharu projek HSR KL-Singapura selepas ada keputusan
Menurut kenyataan itu, mesyuarat bersama MSBC ke-24 dipengerusikan bersama oleh Nik Norzrul dan Yap, yang diadakan secara maya pada 11 Sept 2023.
“Semasa mesyuarat bersama itu, pembentangan telah dikongsikan mengenai perkembangan terkini Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, dan hasil kaji selidik pasaran Singapore’s Action for Community Entrepreneurship’s Malaysia serta kemas kini inisiatif terkini Persekutuan Pekilang Singapura di Malaysia.
“Terdapat juga perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama dalam projek HSR, pembangunan modal insan dan ekonomi digital,” katanya.
Ditubuhkan pada Julai 2004 untuk menggalakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan antara Singapura dan Malaysia, MSBC terus berfungsi sebagai platform kerjasama yang bermanfaat bagi komuniti perniagaan kedua-dua negara dalam memulakan projek yang saling menguntungkan dan meneroka peluang bersama.