Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Pelajar tuntut elaun minimum latihan industri, majikan terbeban


Oleh: Afrina Romzi

PETALING JAYA: Hantaran pelajar Univesiti Malaya (UM) Rashifa Aljunied baru-baru ini mencetuskan polemik mengenai latihan industri.

Persoalan pokok, elaun yang diberikan kepada pelatih yang ada kalanya terlalu kecil. Keadaan ini sudah pasti membebankan pelajar terutama yang menjalani latihan di bandar besar.

Pelajar Univesiti Malaya Rashifa Aljunied berkata pengalaman memang bagus tapi ia tidak akan membayar sewa, makanan dan pengangkutan yang diperlukan dalam latihan industri.

“Kita tengok pelatih industri, macam situasi samar-samar, dia bukan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, bukan bawah Kementerian Sumber Manusia juga. Saya rasa kerajaan kena campur tangan juga dalam isu latihan industri ini dan berikan polisi yang jelas,” katanya kepada BuletinTV3.

Terdapat permintaan agar pelatih dibayar elaun mengikut gaji minimum RM1,500. Bagaimanapun, perkara ini mungkin sukar dilakukan kerana tidak semua majikan mampu membayar sebanyak itu.

Pengarah Eksekutif Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata indikator utama pemberian elaun adalah berdasarkan kedudukan kewangan syarikat.

Julat yang dibayar ahli MEF adalah antara RM500 hingga RM1,800 sebulan untuk pelatih industri.

“Apabila mereka (pelatih industri) berada di universiti, bilik darjah, mereka tidak mengatakan sebarang elaun pun diminta daripada pihak universiti. Tetapi apabila mereka belajar, diberi latihan di tempat industri, kenapa isu-isu elaun ini digembar-gemburkan?,” katanya.

Untuk mengurangkan kos harian, beliau menyarankan agar pelajar mendapatkan tempat latihan berdekatan dengan kediaman keluarga masing-masing.

Jika elaun minimum dilaksana, ada syarikat berasa keberatan untuk mengambil pelatih ataupun mengurangkan bilangan yang diambil.

Hakikatnya, 98 peratus syarikat di negara ini adalah kecil dan sederhana dan daripada jumlah itu, lebih 650,000 syarikat mempunyai pekerja kurang dari 5 orang.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Ekonomi, UM, Dr. Elya Nabila Abdul Bahri, berpendapat masih banyak majikan yang mampu mengambil pelatih industri sekiranya elaun minimum dilaksana.

“Dalam dunia sebenar, kos itu lebih daripada itu kerana di kampus lebih banyak subsidi diberikan. Jadi pelajar mungkin terkejut dengan kejutan budaya dan kos yang dia perlu tanggung dan sangat terbeban sekiranya pelajar tidak dapat apa-apa elaun, ataupun kadar sangat rendah,” katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan meletakkan elaun minimum RM800 hingga RM1000 ringgit bagi kawasan bandar, dan RM600 hingga RM800 bagi kawasan luar bandar.

Dalam satu tinjauan BuletinTV3 di UM, pelajar berasa wajar untuk kerajaan meletakkan elaun minimum RM500 hingga RM800.

“Mereka bukan sahaja perlu membayar untuk pekerja sebenar mereka tetapi mereka juga perlu berbelanja untuk latihan amali. Jadi saya fikir bayaran sebenar untuk pelajar dalam latihan industri bukan sahaja elaun tetapi juga pengalaman mereka,” kata pelajar UM, Deeviya Prakash.

“Kalau menetap di luar mereka perlu ada satu simpanan, kalau ada elaun minimum, saya rasa kalau rendah dari RM800, seperti RM500, saya rasa kalau nak bayar rumah sewa tidak cukup,” kata pelajar UM, Muhammad Hazim Muhammad Shukri.

Loading...
Terkini