comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelaburan teknologi akan perkukuh ekosistem AI di Malaysia – MOSTI 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.

KUALA LUMPUR: Pelaburan di Malaysia oleh syarikat teknologi akan menambah baik dan meningkatkan ekosistem kecerdasan buatan (AI) di negara ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.

Beliau berkata apabila syarikat teknologi melabur di Malaysia untuk mengembangkan operasi masing-masing, mereka juga akan membantu Malaysia memperkukuh ekosistem AI.

“Ini bermakna lebih banyak tenaga pengkomputeran dan lebih banyak pusat data. Saya percaya ini akan membantu kita membina infrastruktur dan menggalakkan penggunaan AI,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Kebangsaan 2024 di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rancangan pemilik TikTok, ByteDance untuk melabur RM10 bilion di Malaysia.

Mengenai pelaburan Nvidia pula, Chang berkata kerajaan boleh memanfaatkan pelaburannya dari segi teknologi dan kepakaran.

“Nvidia sedang melabur dengan rakan kongsi Malaysia. Kita menjangkakan pemindahan teknologi, yang akan membantu kita dari segi infrastruktur. Mereka akan mewujudkan pusat data menggunakan GPU (unit pemprosesan grafik) dengan tenaga pengkomputeran yang tinggi. Ini akan membantu kita merangsang pembangunan AI,” katanya.

Beliau berkata MOSTI, melalui Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), telah mewujudkan medan ujian AI dengan kerjasama Nvidia untuk meraih manfaat daripada kepakarannya.

“Nvidia juga telah berbincang dan bersetuju memberikan kredit awan kepada Malaysia untuk syarikat permula niaga AI di negara kita,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini