Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Pelaburan pusat data di Malaysia tidak akan terjejas dengan kewujudan platform kecerdasan buatan (AI) sumber terbuka, DeepSeek.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, perkembangan ini sebaliknya menunjukkan kepentingan pusat data dalam ekosistem digital.
“Anda akan melihat ramai orang menggunakan perkhidmatan ini dan jika itu berlaku, maka sudah tentu akan ada peningkatan permintaan untuk data,” katanya selepas majlis pelancaran 5G Advanced di perkarangan pusat my5G Portal, The Exchange 106, semalam.
Gobind menjelaskan bahawa sekiranya DeepSeek dapat menyediakan perkhidmatan pada kos yang lebih rendah, platform itu berpotensi berkembang dengan lebih pesat.
“Jadi persoalannya ialah bagaimana kerajaan boleh memastikan bahawa dasar yang telah direka sebelum ini adalah dasar yang dapat disesuaikan dengan perkembangan baharu ini,” katanya lagi.
DeepSeek pantas meraih perhatian apabila model AI platform itu dikatakan mampu menandingi OpenAI seperti ChatGPT.
Baru-baru ini, kebimbangan pelabur terhadap impak DeepSeek menyebabkan nilai saham syarikat teknologi utama Amerika Syarikat (AS), Nvidia, menjunam ke paras terendah dalam rekod.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.