Tumpuan :
Detik Niaga

Pelaburan mesti dilihat dari segi impak, bukan hanya nilai

Fraziali (kiri) pada forum Ekonomi Malaysia anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini – NSTP

KUALA LUMPUR: Pelaburan besar yang dicapai negara terutamanya melalui pelaburan langsung asing (FDI) perlu dilihat dari segi impak bukan hanya pada nilai.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Fraziali Ismail, berkata pelaburan tidak boleh dilihat kepada sebesar mana nama syarikat atau jumlah pelaburan yang dilaksanakan, sebaliknya perkara utama yang perlu diberi tumpuan adalah nilai yang akan dibawa pelaburan berkenaan kepada negara.

“Kita perlu bertanyakan soalan itu. Semua angka pelaburan perlu dilihat dari segi kualiti dan kita perlu memerhatikannya dengan teliti dari segi pelaksanaan,” katanya selepas forum Ekonomi Malaysia anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di sini, hari ini.

Fraziali berkata, manfaat penting yang perlu dimainkan oleh sesuatu pelaburan itu adalah meningkatkan tahap pengetahuan dan lonjakan ekonomi.

Beliau berkata, pelaburan yang diperlukan adalah yang mampu membantu kerumitan ekonomi, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, mewujudkan kelompok ekonomi baharu, mewujudkan keterangkuman dari segi geografi dan segmen masyarakat.

Katanya, antara elemen lain yang penting adalah bagaimana pelaburan itu dapat mencapai dan meningkatkan elemen tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG).

“Justeru, jika memperkatakan mengenai pelaburan, kita mesti bercakap mengenai menarik pelaburan tepat yang boleh dikekalkan dan dipastikan mereka akan melabur semula di Malaysia. Pelabur juga mesti bersama-sama dalam perjalanan ini supaya mereka sentiasa ada bersama kita,” katanya.

Fraziali berkata, selain penumpuan kepada pelaburan berkualiti, Malaysia juga perlu melaksanakan pembaharuan struktur utama bagi meningkatkan daya saing dan potensi pertumbuhan negara.

Beliau berkata, inisiatif pembaharuan akan mengurangkan kebimbangan kos sara hidup, membina penampan terhadap kejutan masa depan dan menyokong peralihan negara kepada negara berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, katanya bank pusat menekankan enam keutamaan dasar utama untuk pembaharuan, iaitu pendigitalan, daya tahan fiskal, ekonomi berdaya tahan iklim, potensi pertumbuhan, tenaga kerja sedia masa hadapan dan perlindungan sosial.

“Pembaharuan struktur adalah perkara yang sentiasa berterusan, cuma persoalannya apakah dasar yang menjadi keutamaan dan dilaksanakan dahulu.

“Sebagai sebuah negara, kita pasti akan mendapat manfaat daripada usaha ini. Untuk mengurangkan kesan daripada beberapa pembaharuan ini, kita mesti perlu melaksanakan dengan tepat,” katanya.

Ditanya adakah terdapat jangka masa diperlukan bagi pembaharuan struktur dasar, Fraziali berkata, ia bergantung kepada langkah yang ingin diperbaharui.

“Sebagai contoh, jika mahu melakukan reformasi subsidi, anda mahu melakukannya apabila ekonomi kukuh, harga turun dan masa yang baik supaya ia boleh menjadi pelarasan tepat.”Jadi, sudah tentu masa penting, tetapi yang penting adalah pelaksanaannya,” katanya. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini