KUALA LUMPUR: Pelaburan besar dari China bakal rangsang sektor pembuatan berteknologi tinggi dan ekonomi digital yang berpotensi memberi manfaat kepada pertumbuhan pelbagai industri tempatan.
Penganalisis Public Investment Bank Bhd, Chin Li Shan, berkata meskipun butiran mengenai pelaburan berjumlah RM170 bilion hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China masih belum jelas, ia bagaimanapun berpotensi membawa limpahan kepada industri hartanah, pembinaan dan elektrik dan elektronik.
“Kami menjangkakan potensi aliran masuk modal dari China yang akan memanfaatkan sektor pembuatan, diikuti ekonomi digital yang memberi limpahan kepada pertumbuhan industri hartanah bukan kediaman, bangunan perindustrian, pusat data serta perdagangan khas seperti kerja tanah dan aktiviti pembinaan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Li Shan berkata, sebagai imbasan, nilai kerja-kerja yang dilaksanakan merekodkan pertumbuhan 8.8 peratus tahun ke tahun daripada paras negatif dalam tempoh dua tahun lalu, dirangsang penambahbaikan merentasi semua aktiviti segmen pembinaan.
“Pemulihan paling kukuh dalam segmen hartanah bukan kediaman dan perdagangan khas yang masing-masing melonjak 18.7 peratus dan 19.6 peratus tahun ke tahun.
“Jumlah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bersih tertinggi direkodkan pada tahun lalu berjumlah RM273.1 bilion, membentuk peningkatan 12.9 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Secara keseluruhan, beliau menjelaskan, perkembangan itu adalah sesuatu yang positif, walaupun Public Investment Bank percaya aliran masuk FDI berpotensi itu tidak akan memperlihatkan kesan serta-merta kepada aktiviti sektor berkaitan.
“Kami menjangkakan aktiviti akan meningkat pada separuh kedua tahun ini dan seterusnya sebagai tambahan kepada pelancaran MRT3 ditambah dengan langkah mempercepatkan projek infrastruktur awam di Malaysia Timur,” katanya. -BERITA HARIAN